Accessibility Tools

Skip to main content

Lapan inisiatif pendigitalan dilaksanakan pertingkat kecekapan sektor agromakanan

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 23 April — Kerajaan Negeri Kelantan mempergiat agenda pendigitalan sektor pertanian melalui pelaksanaan lapan inisiatif strategik merangkumi penggunaan sistem digital, teknologi pintar serta pembangunan kapasiti pengusaha, bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing sektor agromakanan negeri.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pendekatan menyeluruh itu dilaksanakan bagi memperkukuh pengurusan sektor pertanian berasaskan teknologi.

“Kerajaan Negeri Kelantan komited memperkukuh pendigitalan sektor pertanian melalui pendekatan menyeluruh yang melibatkan penggunaan sistem digital, teknologi pintar serta pembangunan kapasiti pengusaha. Inisiatif ini dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sektor pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan pada Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan antara inisiatif utama ialah penggunaan Sistem Geotanaman yang merekodkan maklumat ladang secara bersepadu termasuk lokasi GPS, jenis tanaman, keluasan serta profil pengusaha bagi membolehkan perancangan pengeluaran makanan lebih tepat dan berasaskan data.

Selain itu, pendigitalan perkhidmatan pertanian dilaksanakan melalui modul e-Pengembangan, pensijilan myGAP dan myOrganic secara dalam talian serta sistem e-GAP yang memudahkan urusan petani dan mempercepat penyampaian perkhidmatan.

Menurutnya, penggunaan teknologi pertanian pintar turut dipergiat melalui aplikasi Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI) serta sistem fertigasi pintar dengan sokongan insentif dan geran padanan bagi meningkatkan produktiviti.

“Inisiatif lain termasuk pembangunan kapasiti pengusaha melalui latihan teknologi digital, pelaksanaan program dron pertanian Al-Falah Dron Darul Naim (AFDAL), penggunaan rumah cendawan pintar berasaskan IoT serta pembangunan model ladang pintar Roncana Agro Valley di Pasir Mas,” katanya.

Di samping itu, aspek pemasaran digital turut diperkasa melalui platform Agrobazaar Online (ABO) oleh FAMA yang merekodkan jualan hampir RM2.9 juta dengan lebih 79,000 transaksi sehingga Mac 2026.

Beliau menegaskan semua inisiatif tersebut turut memperkukuh daya saing sektor pertanian negeri secara menyeluruh.

Dalam sesi soalan tambahan, beliau menjelaskan pelaksanaan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) dalam sektor ternakan yang kini berada pada peringkat awal.

“Pendekatan RFID dalam pengurusan ternakan ini adalah satu perkara penting dan masih di peringkat permulaan pelaksanaan.

“Teknologi ini digunakan bagi meningkatkan kecekapan dalam aspek daya jejak, pemantauan kesihatan serta kawalan penyakit secara lebih sistematik,” katanya.

Menurutnya lagi, penggunaan mikrocip RFID melibatkan ternakan seperti lembu hibrid Naim Beef, kuda serta haiwan kesayangan bagi membolehkan rekod kesihatan dan rawatan dipantau secara berpusat.

Tambahnya, pelaksanaan awal pada tahun 2025 melibatkan 127 ekor kuda, 145 ekor lembu hibrid serta beberapa haiwan kesayangan.

“Secara keseluruhannya, teknologi RFID berpotensi memperkukuh sistem daya jejak ternakan dari ladang ke pengguna (farm-to-fork), di samping meningkatkan kawalan penyakit dan keselamatan makanan,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus memperluaskan pelaksanaan teknologi tersebut bagi memastikan sektor pertanian dan ternakan bergerak ke arah sistem yang lebih moden, sistematik dan mampan.

Pautan berjaya disalin!