Model “Latih, Bimbing dan Sandar” pemangkin belia berdikari, mampu cipta peluang kerja
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 23 April — Kerajaan Negeri Kelantan memperkenalkan model pembangunan belia berteraskan konsep “Latih, Bimbing dan Sandar” yang merangkumi tiga fasa utama iaitu latihan kemahiran, bimbingan berterusan serta laluan ke arah berdikari bagi melahirkan belia berdaya saing dan mampu mencipta peluang pekerjaan.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, pendekatan tersebut dirangka secara menyeluruh bagi memastikan pembangunan kemahiran anak muda tidak bersifat sementara, sebaliknya mempunyai hala tuju kerjaya yang jelas dan mampan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Jelawat YB Zameri Mat Nawang pada Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.
Menurutnya, cabaran utama belia masa kini bukan sekadar mendapatkan pekerjaan, tetapi memiliki kemahiran yang membolehkan mereka berdikari dan menjana pendapatan sendiri.
“Antara pendekatan utama ialah pelaksanaan kursus dan latihan kemahiran berasaskan keperluan industri. Melalui Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS), pelbagai kursus telah dilaksanakan termasuk dalam bidang teknologi maklumat (IT), kemahiran digital, dandanan rambut serta kemahiran teknikal dan keusahawanan mikro.
“Kursus keusahawanan mikro ini memberi fokus kepada kemahiran yang boleh terus menjana pendapatan sama ada melalui pekerjaan atau perniagaan sendiri,” jelasnya.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri turut menjalin kerjasama strategik dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menawarkan diploma kemahiran diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Katanya, program tersebut menggunakan piawaian Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SKM) atau BKM, sekali gus memastikan peserta memperoleh kelayakan sah di peringkat nasional.
“Inisiatif ini meningkatkan kebolehpasaran serta mobiliti kerjaya anak muda Kelantan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pelaksanaan inisiatif baharu Kelantan News Digital Printer yang dijangka dilancarkan sekitar Jun atau Julai ini bagi melahirkan usahawan digital dalam kalangan belia melalui pendekatan jaringan, bimbingan serta sokongan dana.
Tambahnya, model “Latih, Bimbing dan Sandar” memberi penekanan kepada pembentukan kemahiran teknikal dan insaniah secara seimbang, di samping membimbing peserta dalam aspek sahsiah, disiplin kerja dan pengurusan diri sebelum melangkah ke industri atau memulakan perniagaan.
“Menerusi pendekatan ini, peserta bukan sahaja dilatih, malah dibimbing sehingga mampu berdikari dan seterusnya mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” jelasnya.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri komited melahirkan belia yang bukan sekadar pencari kerja, tetapi pencipta peluang ekonomi selaras dengan agenda pembangunan belia negeri.
“Kemahiran merupakan benteng sosial. Apabila anak muda mempunyai kemahiran dan pendapatan stabil, ia memberi kesan positif dari segi ekonomi, sosial dan emosi,” ujarnya.








