Kerajaan negeri puji usaha Masjid Muhammadi pikat anak muda sertai program berimpak tinggi
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 23 April – Kerajaan Negeri Kelantan memuji usaha pihak pengurusan Masjid Jamek Muhammadi Kota Bharu yang berjaya menarik penyertaan golongan muda melalui penganjuran pelbagai program kreatif dan berimpak tinggi di peringkat komuniti.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, pendekatan yang digunakan oleh pengurusan masjid kini menunjukkan perkembangan positif apabila institusi masjid semakin menjadi tumpuan anak muda melalui aktiviti yang lebih dekat dengan minat mereka.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan ADN Pulai Chondong YB Azhar Salleh pada Persidangan Kali Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.
Menurutnya, pengurusan masjid di Kelantan kini telah mengubah pendekatan dengan lebih kreatif bagi memastikan institusi tersebut kekal relevan dan menarik minat generasi muda.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada imam-imam dan pihak pengurusan masjid yang kini bergerak seiring arus perdana dengan mempromosikan pelbagai aktiviti yang mendekatkan anak muda kepada masjid,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Masjid Jamek Muhammadi menjadi antara contoh terbaik apabila berjaya menganjurkan program Himpunan Anak Muda Bermotor yang menghimpunkan lebih 2,000 pemilik motosikal Honda EX5, dengan pengisian solat Maghrib, Isyak serta bacaan Surah Al-Mulk.
Selain itu, program berbentuk gaya hidup sihat seperti Night Run dan Subuh Run turut mendapat sambutan apabila berjaya menarik lebih 1,000 penyertaan anak muda yang bermula seawal waktu Subuh di masjid.
“Pendekatan seperti kempen ‘solat Subuh seperti solat Jumaat’ juga menunjukkan impak positif dalam menggalakkan kehadiran anak muda ke masjid,” jelasnya.
Tambahnya, Masjid lain seperti Masjid Sultan Ismail Petra turut merancang penganjuran Pelikat Run yang dijangka menghimpunkan sekitar 3,000 anak muda, selain aktiviti memanah dan silat yang terus dijadikan pengisian tetap di masjid tersebut.
Selain program berbentuk aktiviti fizikal, beliau berkata masjid-masjid di seluruh negeri turut menganjurkan kem cuti sekolah bagi memberi pendedahan awal kepada golongan muda mengenai peranan institusi masjid.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan data terkini menunjukkan penglibatan anak muda dalam aktiviti keagamaan semakin meningkat apabila 63 peratus daripada pembayar zakat Kelantan pada tahun 2025 terdiri daripada golongan berumur 20 hingga 39 tahun.
“Ini membuktikan anak muda bukan sahaja hadir ke masjid untuk program sosial dan sukan, tetapi turut menghayati tanggungjawab agama dan pembangunan ummah,” ujarnya.








