Accessibility Tools

Skip to main content

Sistem digital berpusat YIK dibangunkan, prestasi pelajar dipantau lebih efektif

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 21 April — Kerajaan Negeri Kelantan sedang membangunkan sistem digital berpusat ke arah merealisasikan sekolah digital di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK), sekali gus membolehkan pemantauan prestasi pelajar dilaksanakan secara lebih efektif di semua sekolah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, pembangunan tersebut merupakan kesinambungan kepada pengukuhan Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) yang kini berfungsi sebagai platform utama penyelarasan data akademik dan peperiksaan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Ipoh YB Bahari Mohamad Nor pada Persidangan Kali Yang Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.

Menurut Dato' Wan Roslan, SPS telah dilaksanakan di semua sekolah YIK bagi memastikan pengurusan data pengajian dan peperiksaan lebih tersusun, sistematik dan bersepadu.

“Sehingga kini kerajaan telah melaksanakan Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) bagi semua sekolah di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan untuk memastikan data pengajian dan peperiksaan dapat diurus dengan lebih tersusun,” katanya.

Katanya, sistem tersebut merangkumi pelbagai komponen penilaian termasuk Ujian Pengesanan 1, Ujian Pengesanan 2, Peperiksaan Pertengahan Tahun serta Peperiksaan Percubaan yang menjadi asas pemantauan prestasi pelajar sepanjang tahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri kini sedang menambah baik keupayaan SPS bagi menyokong analisis data berskala besar, selaras dengan keperluan pendidikan moden berasaskan data.

Dalam masa sama, pembangunan sistem digital berpusat baharu yang lebih komprehensif sedang giat dilaksanakan sebagai platform integrasi utama bagi keseluruhan ekosistem pendidikan YIK.

“Pembangunan sistem digital ini sedang berjalan ke arah sekolah digital berpusat bagi membolehkan kita memantau prestasi pelajar dengan lebih berkesan di semua sekolah YIK,” jelasnya.

Tambahnya, inisiatif tersebut dijangka memperkukuh kecekapan pengurusan pendidikan negeri serta menyokong usaha melahirkan pelajar yang berdaya saing melalui pendekatan berasaskan data dan teknologi.

Pautan berjaya disalin!