Isu roboh hentian bas: MPKB-BRI jelaskan projek naik taraf hampir 50 lokasi
-
22 November 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
59
KOTA BHARU, 22 November – Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menjelaskan isu perobohan hentian bas di sekitar bandar Kota Bharu dengan memaklumkan hampir 50 hentian bas akan dinaik taraf dan dibaik pulih menerusi projek yang dijangka siap pada Disember 2026.
MPKB-BRI dalam kenyataan rasminya memaklumkan, projek berkenaan mendapat kelulusan peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), selain menggunakan sebahagian peruntukan tahunan Pihak Berkuasa Tempatan itu.
Pelaksanaannya turut selaras dengan usaha pengindahan bandar bersama Jabatan Landskap Negara (JLN).
Menurut kenyataan itu, perbincangan awal telah diadakan bersama MyBus dan Konsortium E-Mutiara yang turut memberikan kerjasama serta maklum balas positif berhubung pelaksanaan projek berkenaan.
MPKB-BRI menjelaskan, status pemilikan hentian bas di sekitar Kota Bharu berbeza, termasuk aset milik pihaknya, milik persendirian serta sumbangan pihak tertentu.
“Sebahagian hentian bas lama juga tidak lagi berada pada laluan atau lokasi rasmi, justeru pemilihan lokasi bagi kerja penambahbaikan dibuat berdasarkan aspek keselamatan, kesesuaian dan keperluan pengguna.
“Penambahbaikan turut mengambil kira hentian bas yang bukan milik MPKB-BRI” menurut kenyataan rasmi MPKB-BRI yang disiarkan semalam.
Berhubung isu Hiyaz Community, MPKB-BRI memaklumkan pihaknya telah menghubungi komuniti berkenaan pada 26 Oktober 2026, sebelum projek bermula, bagi menyampaikan makluman awal mengenai perancangan naik taraf serta mengemukakan pelawaan untuk berbincang dan bekerjasama.
MPKB-BRI turut menyatakan kekesalan terhadap hantaran media sosial yang disifatkan menimbulkan salah faham dan persepsi negatif berhubung usaha penambahbaikan hentian bas berkenaan.
“MPKB-BRI telah menghubungi Hiyaz Community pada 26 Oktober 2026, sebelum projek mula. Makluman awal mengenai perancangan naik taraf telah disampaikan. Pelawaan untuk berbincang dan bekerjasama turut dikemukakan. Tiada maklum balas diterima sehingga kenyataan ini disediakan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MPKB-BRI menegaskan pihaknya sentiasa terbuka menerima teguran, aduan dan cadangan masyarakat serta mengalu-alukan kerjasama individu, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
MPKB-BRI turut menegaskan komitmennya untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna pengangkutan awam, selain memastikan kemudahan awam ditambah baik secara berperingkat.
Pihaknya turut mengalu-alukan kritikan membina terhadap usaha penambahbaikan kemudahan awam, selaras dengan seruan supaya masyarakat bersama-sama menjaga imej bandar berkenaan.














