Accessibility Tools

Skip to main content

PUSPA terbit buku gastronomi Kelantan, sokong aspirasi Kota Bharu-Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO

  • 21 November 2026
  • Oleh: Norzana Razaly | Kredit foto: Media TVS
  • 54

PETALING JAYA, 21 November – Persatuan Kemajuan Wanita Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor (PUSPA) menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Kelantan mengangkat pencalonan Kota Bharu sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO menerusi penerbitan buku Seni Kuisin Bonda: Suatu Kearifan Gastronomi Kelantan.

Naskhah terbitan Penerbit Universiti Malaya itu menjadi antara inisiatif strategik mendokumentasikan khazanah kulinari tradisional Kelantan bagi memastikan warisan gastronomi negeri terus terpelihara dan diwarisi generasi akan datang.

Editornya, Profesor Emeritus Dr. Azizah Hamzah berkata, penerbitan tersebut menghimpunkan resipi dan kaedah penyediaan makanan tradisional sekali gus menyingkap sejarah, identiti budaya serta hubungan gastronomi dengan kehidupan sosial dan ekonomi masyarakat Kelantan.

Menurutnya, usaha pendokumentasian itu amat penting bagi memastikan kearifan tempatan yang diwarisi turun-temurun tidak terhakis akibat perubahan gaya hidup dan peredaran zaman.

“Tujuan penerbitan buku ini adalah untuk mendokumentasikan dan merekodkan warisan makanan tradisional supaya generasi muda, khususnya generasi Z dan Alpha, tidak melupakan khazanah budaya yang diwarisi daripada nenek moyang.

“Warisan gastronomi tidak seharusnya tersimpan sebagai catatan dalam buku, sebaliknya perlu terus dipelihara, dipraktikkan dan diwariskan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku berkenaan di Universiti Islam Malaysia (UIM), di sini, hari ini.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh  Tengku Temenggong Kelantan YM Tunku Puan Sri Datuk Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Mengulas lanjut, Profesor Azizah memaklumkan bahawa buku berkenaan turut memberikan penekanan terhadap keaslian bahan, teknik penyediaan dan kemahiran tradisional yang menjadi asas kepada keunikan cita rasa masakan Kelantan.

Jelasnya, pemeliharaan kaedah penyediaan secara autentik penting bagi memastikan identiti sesuatu hidangan tidak hilang meskipun mengalami penyesuaian mengikut perkembangan industri makanan moden.

Di samping itu, beliau berpandangan bahawa kekayaan gastronomi Kelantan berpotensi dikembangkan sebagai sektor ekonomi kreatif yang mampu membuka peluang keusahawanan dan menjana pendapatan masyarakat.

Katanya lagi, pengembangan serta pengkomersialan makanan tradisional secara terancang dapat memperkukuh industri makanan tempatan bahkan berupaya meningkatkan daya tarikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan gastronomi.

Penerbitan buku tersebut turut menghimpunkan sumbangan penulisan dan penyelidikan beberapa tokoh akademik serta pengarang berpengalaman.

Antaranya, ilmuan ulung Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr. Rosmani Omar serta Pengarang Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) Norzana Razaly.

Selaku Presiden PUSPA, Profesor Azizah menjunjung kasih atas kesudian Tunku Puan Sri Datuk Noor Hayati menyempurnakan perasmian majlis.

Beliau juga menzahirkan apresiasi atas penglibatan rakan editor dan semua penulis dalam kalangan warga PUSPA yang terdiri daripada pakar pelbagai disiplin serta memperlihatkan pendekatan penerbitan yang mengangkat gastronomi sebagai khazanah ilmu, warisan budaya dan sumber ekonomi yang wajar dipertahankan.

Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia Negeri Kelantan Mohd Azwan Abdul Rahman.

Pautan berjaya disalin!