Accessibility Tools

Skip to main content

HEBAT 7.0 himpun 600 penggerak utama, perkasa kesiapsiagaan 20,000 sukarelawan Khidmat Malaysia

  • 22 November 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 73

KUALA KRAI, 22 November  – Seramai 600 pemimpin dan penggerak utama NGO Khidmat Malaysia dari seluruh negara dihimpunkan menerusi Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia (HEBAT 7.0) bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta menyelaras gerak kerja lebih 20,000 sukarelawan dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan dan bencana.

Pengerusi Khidmat Malaysia YB Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary berkata, himpunan yang berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 November di Pasir Raja Campsite, Kuala Krai itu menjadi platform meningkatkan keupayaan kepimpinan lapangan serta kemahiran petugas dalam operasi menyelamat.

Menurutnya, seramai 600 penggerak utama yang terdiri daripada kepimpinan peringkat negeri hingga kawasan merupakan tulang belakang kepada jaringan sukarelawan Khidmat Malaysia di seluruh negara.

“Kita menghimpunkan para penggerak ini untuk memperkukuh kepimpinan lapangan, menyelaraskan gerak kerja, meningkatkan kemahiran menyelamat dan memastikan seluruh jentera sentiasa bersedia menghadapi bencana.

“Sepanjang tiga hari, peserta menjalani latihan menyelamat di air, bantuan pernafasan kecemasan (CPR), simulasi kecemasan serta latihan ketahanan fizikal dan mental,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi pada Jumaat.

Beliau berkata, Khidmat Malaysia menyasarkan supaya sukarelawannya menjadi antara pasukan terawal tiba di lokasi kejadian bagi menghulurkan bantuan apabila berlaku musibah, banjir atau bencana lain.

“Pesanan saya jelas, apabila berlaku musibah, banjir atau apa sahaja bencana, pastikan sukarelawan Khidmat Malaysia menjadi antara yang paling awal tiba untuk membantu rakyat.

“Kita mungkin tidak mampu menghalang bencana, tetapi kita mesti mampu memastikan bantuan sampai sebelum penderitaan rakyat bertambah,” katanya.

Perasmian HEBAT 7.0 disempurnakan Penasihat NGO Khidmat Malaysia YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang turut menekankan kepentingan semangat ta’awun, keikhlasan dan integriti dalam pengurusan dana awam.

Sementara itu, Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Kelantan YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, himpunan berkenaan menjadi platform penting untuk meningkatkan keupayaan sukarelawan dalam memastikan bantuan kemanusiaan dapat disampaikan dengan pantas, teratur dan berkesan.

Menurutnya, kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya bergantung kepada kelengkapan dan kemahiran, malah memerlukan keikhlasan, disiplin, kerjasama serta semangat ta’awun dalam membantu masyarakat.

“Dengan kekuatan jaringan lebih 20,000 sukarelawan di seluruh negara, Khidmat Malaysia membawa satu misi besar iaitu memastikan bantuan kemanusiaan dapat disampaikan dengan pantas, teratur dan berkesan kepada masyarakat yang memerlukan.

“Sesungguhnya, kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan sekadar soal kelengkapan dan kemahiran, tetapi turut menuntut keikhlasan, disiplin, kerjasama serta semangat ta’awun dalam membantu sesama insan,” katanya di laman rasmi, semalam.

Beliau turut berharap segala usaha dan pengorbanan sukarelawan dalam misi kemanusiaan menjadi amal kebajikan berterusan serta dipermudahkan dalam setiap gerak kerja membantu mangsa bencana.

Penganjuran HEBAT 7.0 itu turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), NGO rakan strategik serta pelbagai pihak lain.

Pautan berjaya disalin!