Hero Fest raikan wira masyarakat, hargai sumbangan NGO Kelantan – Dr Tengku Ahmad Damitri
-
21 November 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
27
KOTA BHARU, 21 November – Festival Hero Fest NGO Kelantan 2026 anjuran Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urus Setia Belia Sukan dan NGO (U-BeS) menjadi platform menghargai sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang menjadi penggerak kerja kebajikan serta kemasyarakatan di negeri ini.
Pengerusi Konfederasi NGO Negeri Kelantan (KNK) Dr. Tengku Ahmad Damitri Al Astani Tengku Din berkata, penganjuran festival itu merupakan ruang untuk mengiktiraf jasa golongan yang sanggup mencurahkan masa dan tenaga bagi membantu masyarakat tanpa mengharapkan ganjaran.
“Program ini adalah pentas besar untuk kita hargai hero sebenar di lapangan, mereka menggerakkan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan yang pada saya amat bertuah kerana mereka bekerja tanpa gaji, berkhidmat untuk masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Festival Hero Fest NGO Kelantan 2026 di Aeon Mall, Kota Bharu, hari ini.
Menurutnya, festival berkenaan merupakan program santai yang menawarkan pelbagai pengisian menarik yang memberi manfaat secara langsung kepada pengunjung.
“Penganjuran ini bukan sekadar festival hujung minggu, tapi sarat dengan pengisian menarik. Pagi tadi ada Sembang Santai Bersama Abe Mat Ngepek dan saringan kesihatan percuma,” katanya.
Antara pengisian kesihatan disediakan ialah saringan kanser payudara oleh Hospital Pakar USM (HPUSM), selain pemeriksaan kencing manis, kolesterol dan indeks jisim badan (BMI) oleh Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Kelantan.
Dr Tengku Ahmad Dhamitri berkata, lebih 60 pengunjung telah menjalani saringan kesihatan pada sebelah pagi, selain pelbagai perkhidmatan komuniti turut disediakan.
“Selain itu, kita turut menyediakan khidmat guaman, minyak hitam percuma dan gunting rambut percuma untuk pengunjung,” katanya.
Program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM Kampus Kesihatan.
Menurut Pengerusi KNK itu juga, Pengunjung juga berpeluang menyertai sesi Hero Fest On Air Podcast bersama NGO di Aeon Mall, aktiviti gubahan bunga, pertunjukan pakaian retro 80-an serta eksplorasi warisan budaya dan masyarakat Orang Asli.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri melalui Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) memberikan sokongan kepada NGO, manakala KNK berperanan sebagai wadah menyatukan suara ribuan NGO di Kelantan.
“NGO juga merupakan rakan strategik kerajaan negeri yang turun padang menyantuni masyarakat hingga ke akar umbi merangkumi kebajikan, kesihatan, pendidikan, belia, OKU hinggalah ke pemuliharaan alam sekitar,” jelasnya.












