Accessibility Tools

Skip to main content

NGO rakan strategik kerajaan bangunkan masyarakat Kelantan – YB Zamakhshari

  • 21 November 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 40

KOTA BHARU, 21 November – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merupakan rakan strategik penting kerajaan negeri dalam pembangunan masyarakat Kelantan, khususnya melalui peranan menyampaikan aspirasi rakyat dan membantu memastikan pelaksanaan dasar serta inisiatif kerajaan sampai kepada golongan sasaran.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, NGO mempunyai kedudukan penting dalam pembangunan masyarakat kerana berada dekat dengan rakyat serta memahami keperluan dan permasalahan di peringkat akar umbi.

Menurutnya, NGO berperanan menganjurkan program dan aktiviti, dan menjadi jambatan penghubung antara kerajaan negeri dengan masyarakat.

“NGO berada dekat dengan masyarakat, mereka tahu denyut nadi rakyat dan tahu lebih banyak masalah yang dihadapi di peringkat akar umbi serta sering menjadi pihak pertama yang tahu apabila masyarakat memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Hero Fest NGO Kelantan 2026 di Aeon Mall, Kota Bharu, hari ini.

Program anjuran Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) dengan kerjasama Konfederasi NGO Negeri Kelantan (KNK) itu menghimpunkan NGO daripada tujuh kluster dalam satu platform.

YB Zamakhshari berkata, NGO mempunyai dua tanggungjawab besar kepada kerajaan dan masyarakat.

“NGO mempunyai dua tanggungjawab besar, iaitu menyampaikan aspirasi, dasar, program dan inisiatif kerajaan kepada masyarakat supaya rakyat mendapat maklumat yang tepat dan memahami usaha-usaha yang sedang dilaksanakan.

“Yang kedua, membawa suara, pandangan, keperluan dan permasalahan rakyat kepada pihak kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata, Kelantan mempunyai ratusan NGO dalam pelbagai bidang termasuk kebajikan, pendidikan, kesihatan, belia, kesukarelawanan, wanita, ekonomi dan perpaduan yang menjadi kekuatan besar kepada masyarakat.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap NGO di Kelantan terus memainkan peranan sebagai agen perubahan positif serta memperkukuh kerjasama dalam pembangunan masyarakat.

YB Zamakhshari turut menggariskan beberapa saranan kepada NGO, antaranya memperkukuh semangat kesukarelawanan, membina kerjasama dan mengelakkan pergerakan secara bersendirian.

Selain itu, NGO digalakkan menjadi rakan strategik kerajaan yang konstruktif dengan mengemukakan pandangan serta teguran membina, di samping mendekati masyarakat bagi memastikan setiap program memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.

“Kita mahu NGO menjadi mata dan telinga kepada masyarakat di samping menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam memastikan setiap dasar dan inisiatif sampai kepada golongan sasaran,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, penganjuran Festival Hero Fest NGO Kelantan 2026 merupakan inisiatif bermakna dalam menghimpunkan NGO daripada pelbagai kluster bagi menggalakkan kerjasama dan memperkemas gerakan NGO di negeri ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman, Timbalan Pengerusi KNK YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff serta Pengarah U-BeS Mohamad Kamal Mohamed.

Pautan berjaya disalin!