Accessibility Tools

Skip to main content

KPKT digesa nyatakan tarikh konkrit pembinaan semula Pasar Besar Kuala Krai - YB Abdul Latiff

  • 20 November 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 36

KUALA LUMPUR, 20 November – Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberikan jawapan rasmi secara bertulis dengan menyatakan tarikh konkrit bagi memulakan projek pembinaan semula Pasar Besar Kuala Krai yang musnah dalam kebakaran pada 14 Oktober 2024.

Beliau menegaskan, kepastian mengenai jadual pelaksanaan projek itu amat penting bagi membela nasib ratusan peniaga kecil yang masih berdepan kesukaran menjalankan perniagaan di tapak sementara sejak lebih dua tahun lalu.

Menurutnya, kenyataan bertulis itu penting bagi membolehkan peniaga serta masyarakat Kuala Krai memperoleh kepastian selepas lebih dua tahun menantikan pembinaan semula pasar tersebut.

"Kelewatan pembinaan semula pasar berkenaan menimbulkan keresahan dalam kalangan peniaga dan penduduk setempat dan turut menjejaskan keselesaan serta kelangsungan aktiviti ekonomi masyarakat Kuala Krai," katanya.

Beliau membangkitkan perkara itu ketika membahaskan peruntukan KPKT pada peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, semalam.

"Saya kira apabila terbakar, lebih cepat proses pembinaan dimulakan. Justeru, atas nama keadilan sosial dan penderitaan peniaga Kuala Krai, saya menuntut jawapan yang jujur dan bertarikh daripada Yang Berhormat Menteri," tegasnya.

YB Abdul Latiff juga memaklumkan, peniaga yang kehilangan premis akibat kebakaran berkenaan masih terpaksa meneruskan kegiatan perniagaan dalam keadaan serba terbatas di tapak sementara yang sempit dan kurang selesa.

Sehubungan dengan itu, beliau mempersoalkan kelewatan pelaksanaan projek tersebut meskipun difahamkan peruntukan pembinaan pasar baharu telah diluluskan sebelum kejadian kebakaran berlaku.

Katanya lagi, proses pelaksanaan projek itu didakwa berdepan pelbagai kerenah birokrasi termasuk penganjuran pertandingan reka bentuk bangunan pasar baharu yang akhirnya tidak membuahkan hasil sebagaimana diharapkan.

Beliau mendakwa, reka bentuk ikonik yang dipilih menerusi pertandingan berkenaan kemudiannya ditolak atas alasan teknikal sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan penyelarasan dan proses membuat keputusan dalam pelaksanaan projek tersebut.

"Projek pembinaan semula pasar ini tergendala begitu lama tanpa sebarang titik noktah," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, YB Abdul Latiff turut membangkitkan isu peningkatan anggaran kos pembinaan daripada RM15 juta kepada RM17 juta yang menurutnya berpunca daripada kelewatan proses membuat keputusan dan urusan birokrasi.

Beliau berpandangan, pertambahan kos sebanyak RM2 juta itu tidak sewajarnya menjadi beban kewangan kepada Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK), khususnya apabila kelewatan pelaksanaan projek berkenaan bukan berpunca daripada peniaga yang terjejas.

Oleh itu, beliau mencadangkan supaya KPKT menyediakan tambahan peruntukan tersebut melalui belanjawan tambahan kementerian tanpa menghendaki MDKK mendapatkan sumber kewangan sendiri bagi menampung peningkatan kos pembinaan.

Beliau turut menegaskan bahawa penyelesaian isu berkenaan memerlukan komitmen yang jelas melalui penetapan tarikh permulaan pembinaan secara rasmi dan bukannya sekadar memberikan jaminan umum tanpa jadual pelaksanaan yang khusus.

Pautan berjaya disalin!