Accessibility Tools

Skip to main content

MB Kelantan garis lima teras jayakan agenda KelantanKu Bersih

  • 19 November 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 49

KOTA DARULNAIM, 19 November –  Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menggariskan lima teras utama bagi menjayakan agenda KelantanKu Bersih dalam usaha membudayakan amalan kebersihan sebagai tanggungjawab bersama dan cara hidup masyarakat.

Beliau berkata, lima teras tersebut merangkumi peningkatan kesedaran masyarakat secara berterusan, penerapan pendidikan kebersihan sejak di bangku sekolah, pemantapan undang-undang dan penguatkuasaan, peluasan program Wave to Money serta pelaksanaan kempen secara kreatif dan berkesinambungan.

Menurutnya, kejayaan agenda berkenaan bukan sekadar bergantung pada pelaksanaan program kebersihan, sebaliknya memerlukan perubahan sikap dan komitmen menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat.

“Pertama, kesedaran masyarakat secara berterusan yang melibatkan semua lapisan usia mengenai tanggungjawab menjaga kebersihan supaya menjadi amalan bersama dan sebati dalam kehidupan seharian.
“Kedua, pendidikan awal di sekolah bagi menanam nilai cintakan kebersihan dan menghormati alam sekitar sejak usia muda untuk melahirkan generasi lebih bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan KelantanKu Bersih di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan tersebut mampu menggalakkan masyarakat melihat bahan buangan yang boleh dikitar semula sebagai sumber bernilai ekonomi, sekali gus membantu mengurangkan pencemaran persekitaran.

Sementara itu, teras kelima memberi penekanan kepada pelaksanaan kempen kebersihan yang lebih kreatif, berterusan dan bersesuaian dengan kumpulan sasaran.

“Teras kelima ialah kempen yang berterusan dan kreatif. Kita mahu memperluaskan pendekatan komunikasi yang lebih dekat dengan rakyat menggunakan bahasa serta kaedah penyampaian yang mudah difahami dan sesuai dengan kelompok sasaran,” jelasnya.

Dato' Mohd Nassuruddin turut menzahirkan keyakinan bahawa pelaksanaan kelima-lima teras secara konsisten mampu meningkatkan tahap kebersihan persekitaran, selain membentuk perubahan sikap, pemikiran dan budaya hidup masyarakat.

Beliau menegaskan, matlamat utama agenda KelantanKu Bersih bukan untuk menghasilkan perubahan sementara sepanjang tempoh kempen, sebaliknya menjadikan kebersihan sebagai budaya yang terus diamalkan dan diwarisi generasi akan datang.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Tengku Dr. Mohamed Faziharudean Tengku Feissal; Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Rosnazli Amin; Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Tuan Zawawi Ghazali dan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, Alam Sekitar, Pelancongan dan Kesenian, YB Hilmi Abdullah.

Pautan berjaya disalin!