Kelantan berhasrat jadikan kebersihan jati diri negeri
-
19 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
50
KOTA DARULNAIM, 19 November - Kerajaan Negeri Kelantan melalui agenda KelantanKu Bersih berhasrat menjadikan kebersihan sebagai sebahagian daripada jati diri negeri itu, bukan sekadar tertumpu kepada penyediaan kemudahan awam dan keindahan bandar semata-mata.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata aspirasi menerusi program KelantanKu Bersih itu turut menjadi cabaran kepada semua pihak untuk menzahirkan wajah Islam secara praktikal dalam setiap aspek kehidupan, termasuk amalan menjaga kebersihan.
Katanya, usaha mempraktikkan amalan menjaga kebersihan perlu dilaksanakan secara berterusan menerusi perancangan jangka pendek dan jangka panjang bagi menjadikan kebersihan sebagai identiti serta jati diri Kelantan.
"Atas asas itulah, aspirasi untuk membentuk sebuah negeri yang bersih secara menyeluruh hendaklah meliputi integriti pentadbiran, persekitaran fizikal, amalan hidup rakyat dan nilai kerohanian.
"Sebagai negeri berteraskan Membangun Bersama Islam, kerajaan negeri mahu Kelantan terus dikenali bukan sahaja kerana sejarahnya yang panjang, warisan budaya yang kaya dan daya tahan rakyatnya, tetapi juga kerana keupayaan mengurus bandar dengan baik serta menyediakan kemudahan awam yang bersih dan selesa."
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan KelantanKu Bersih 2026 di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ahli majlis supaya terus memperkukuh kerjasama serta membudayakan pendekatan turun padang dalam melaksanakan amanah masing-masing.
Katanya lagi, kejayaan usaha berkenaan memerlukan tindakan dan komitmen secara langsung di lapangan, termasuk di pasar, kawasan perumahan, taman rekreasi, kampung serta pekan di seluruh negeri.
"Insya-Allah, melalui pendekatan itu kita mampu mengenal pasti masalah rakyat dan menyelesaikannya dengan lebih berkesan, selain dapat menyantuni serta berkomunikasi secara langsung dengan masyarakat," jelasnya.
Dato' Mohd Nassuruddin turut mempelawa sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak sekolah, komuniti, persatuan penduduk dan seluruh rakyat Kelantan supaya menyahut seruan menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup berteraskan semangat Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).
Beliau menegaskan, agenda kebersihan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada perintah Allah SWT yang mempunyai skop lebih luas daripada sekadar amalan menjaga persekitaran.
"Kebersihan bukan sekadar persekitaran yang kemas, sebaliknya mempunyai hubungan rapat dengan keimanan, akhlak, ibadah dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi," tegasnya.
Tambahnya, kerajaan negeri telah menggerakkan kempen KelantanKu Bersih sebagai usaha mendidik serta membentuk kesedaran rakyat mengenai kepentingan menjaga kebersihan, selain menyemai rasa tanggungjawab bersama supaya amalan itu menjadi sebahagian daripada budaya hidup masyarakat.








