Jadual baharu ERT beri peluang pelancong nikmati panorama pagi Dabong
-
18 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
34
KUALA LUMPUR, 18 November – Penyelarasan jadual baharu perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) yang membolehkan tren tiba di Stesen Dabong pada pukul 7.27 pagi berpotensi meningkatkan pengalaman pelancongan rel menerusi peluang menikmati panorama alam semula jadi di sepanjang laluan Pantai Timur.
Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Menteri Pengangkutan YB Datuk Hasbi Habibollah ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman dalam Sidang Kamar Khas, Parlimen Kelima Belas, Penggal Kelima, Mesyuarat Ketiga pada 11 November.
YB Abdul Latiff sebelum itu membangkitkan persoalan mengenai kesesuaian perubahan jadual ketibaan ERT, khususnya kesannya terhadap potensi ekopelancongan di Dabong dan Gua Musang yang semakin mendapat perhatian menerusi fenomena ‘Train to Dabong’.
Menurutnya, pengalaman perjalanan menggunakan perkhidmatan kereta api ke kawasan berkenaan menyediakan kemudahan pengangkutan dan menawarkan peluang kepada pelancong menikmati keindahan hutan hujan tropika, landskap semula jadi dan perkampungan tradisional sepanjang perjalanan.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta penjelasan mengenai kesesuaian waktu ketibaan tren supaya pelancong tidak terlepas peluang menikmati panorama alami, sekali gus menyokong perkembangan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Menjawab perkara berkenaan, Datuk Hasbi menjelaskan penyelarasan jadual ERT dilaksanakan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berdasarkan maklum balas pengguna serta keperluan memastikan kesinambungan perjalanan antara perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan ERT di Stesen Gemas.
Pelarasan tersebut melibatkan perubahan waktu pelepasan tren dari JB Sentral daripada pukul 6 petang kepada pukul 7.30 malam bagi memastikan keselarasan perkhidmatan dan kelancaran perjalanan penumpang.
Susulan perubahan itu, waktu ketibaan di Stesen Gua Musang turut berubah daripada pukul 3.40 pagi kepada pukul 5.18 pagi, manakala ketibaan di Stesen Dabong dianjak daripada pukul 6 pagi kepada pukul 7.27 pagi.
Tambahnya, waktu ketibaan baharu di Dabong memberikan peluang lebih baik kepada penumpang untuk menikmati suasana pagi serta panorama alam semula jadi di sepanjang perjalanan menuju ke destinasi berkenaan.
“Penyesuaian ini turut membolehkan penumpang yang menuju ke Dabong menikmati pemandangan alam semula jadi di sepanjang perjalanan pada waktu pagi, sekali gus menyokong potensi perkhidmatan kereta api sebagai salah satu tarikan pelancongan,” jelasnya.
Selain penyelarasan jadual, kecekapan perjalanan di laluan Pantai Timur turut dipertingkat menerusi penyiapan sepenuhnya projek naik taraf landasan Pakej A bagi laluan Gemas–Mentakab pada Jun lalu.
Projek berkenaan membolehkan had laju tren ditingkatkan daripada 50 kilometer sejam kepada 80 kilometer sejam, sekali gus membantu meningkatkan kelancaran operasi dan ketepatan masa perjalanan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pengangkutan memberi jaminan bahawa KTMB sentiasa terbuka untuk menilai semula kekerapan dan jadual perjalanan tren sekiranya berlaku peningkatan permintaan pengguna pada masa hadapan.
Datuk Hasbi turut menjelaskan penambahbaikan perkhidmatan rel boleh diselaraskan dengan usaha memperkukuh pakej pelancongan bersepadu yang melibatkan pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Penyelarasan jadual dan peningkatan kecekapan perkhidmatan ERT itu diharap dapat memberikan pengalaman perjalanan lebih baik kepada pengguna, di samping menyokong potensi Dabong dan Gua Musang sebagai destinasi pelancongan berasaskan keindahan alam di Kelantan.








