Masjid jadi pusat pembangunan komuniti dengan kerjasama agensi, NGO
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 23 April – Kerajaan Negeri Kelantan terus mempertingkat peranan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti melalui kerjasama bersepadu bersama pelbagai agensi pembangunan Islam serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negeri Kelantan.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, pendekatan itu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan institusi masjid bukan sekadar menjadi tempat ibadah, tetapi turut berfungsi sebagai pusat ilmu, dakwah dan pengukuhan sosial masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADN Pulai Chondong YB Azhar Salleh pada Persidangan Kali Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026 (Hari Ketiga), hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan program pemerkasaan masjid digerakkan melalui kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Jabatan Pendakwaan Syariah dan Jabatan Kehakiman Syariah, dengan sokongan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
“Pendekatan ini memastikan peranan masjid dapat dipertingkat secara menyeluruh bukan sahaja dari sudut ibadah, tetapi juga sebagai pusat penyampaian ilmu dan kefahaman dasar kerajaan kepada masyarakat,” katanya.
Katanya lagi, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Chondong, pelbagai program penerangan berkaitan undang-undang syariah telah dilaksanakan bagi memberi kefahaman jelas kepada masyarakat mengenai pelaksanaan dasar kerajaan negeri.
Antara masjid dan institusi yang terlibat termasuk Masjid Mukim Tok Jerawat, Masjid Mukim Joh, Masjid Mukim Belukar, Masjid Mukim Galang, Madrasah Haji Jusoh, Kampung Bunut Tok Mek Teh, Surau An-Nur PPR Bukit Belah serta Masjid Keputeraan Maahad Tahfiz.
“Melalui program ini, masyarakat setempat diberi peluang untuk hadir dan memahami sendiri pelbagai aspek berkaitan pelaksanaan undang-undang Islam di negeri ini,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan negeri turut memperluas kerjasama dengan NGO dalam penganjuran pelbagai program komuniti berteraskan Islam termasuk program santapan rohani bersama guru-guru KAFA, forum Bicara Ad-Din, Sambutan Hari Kebesaran Islam serta Program Pembasmian Gejala Sosial.
Dalam pada itu, Bahagian Dakwah Halaqat di bawah JAHEAIK turut memainkan peranan aktif dalam mengimarahkan masjid melalui aktiviti tadarus al-Quran, tazkirah serta pengisian sepanjang Ramadan.
Sepanjang Ramadan lalu, sebanyak 13 masjid di Pulai Chondong telah melaksanakan program tadarus al-Quran dan tazkirah sebelum berbuka puasa, manakala program solat dhuha dan solat tasbih turut diadakan di sembilan lokasi pada setiap pagi dengan penglibatan Muslimat.
YB Mohd Asri memaklumkan, usaha tersebut membuktikan bahawa masjid terus kekal relevan sebagai pusat pembangunan komuniti yang merangkumi aspek ibadah, pendidikan, sosial dan pembentukan sahsiah masyarakat.
“Inisiatif ini bukan hanya tertumpu di Pulai Chondong, tetapi dilaksanakan di seluruh DUN di Kelantan sebagai sebahagian agenda mempertingkat institusi Islam di negeri ini,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi serta pihak berkaitan yang sentiasa memberi sokongan dalam memastikan kelancaran agenda pembangunan Islam di Kelantan.








