Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan laksana tiga langkah strategik urus Belanjawan 2026

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 23 April — Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan tiga langkah strategik dalam memperkukuh tadbir urus kewangan dan pelaksanaan projek pembangunan bagi memastikan Belanjawan 2026 dilaksanakan secara lebih teratur, berdisiplin serta berimpak tinggi kepada rakyat.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassruddin Daud ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah YB Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil, semasa Persidangan Kali Yang Pertama Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.

Menurutnya, pendekatan tiga langkah tersebut menjadi teras kepada usaha kerajaan negeri dalam memastikan setiap peruntukan dan projek pembangunan dilaksanakan mengikut skop, kos serta garis masa yang telah ditetapkan, selain menjamin keberkesanan perbelanjaan awam secara berhemah dan berintegriti.

Langkah pertama ialah pengukuhan tadbir urus kewangan berdisiplin melalui peranan Pejabat Perbendaharaan Negeri dan Unit Perancang Ekonomi sebagai penyelaras utama pelaksanaan program serta projek di bawah Belanjawan 2026. Pendekatan ini turut menekankan pengurusan perbelanjaan yang berhemat dengan mengambil kira impak jangka pendek dan jangka panjang serta kedudukan kewangan semasa negeri.

Langkah kedua pula memberi fokus kepada pelaksanaan bajet berimpak tinggi, iaitu dengan menumpukan projek dan inisiatif yang memberikan pulangan nilai maksimum serta manfaat langsung kepada rakyat. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri turut melaksanakan semakan semula keutamaan projek, kajian impak serta penelitian kos bagi memastikan setiap pelaksanaan benar-benar mencapai objektif yang ditetapkan.

Manakala langkah ketiga melibatkan pengukuhan mekanisme pemantauan projek secara menyeluruh melalui Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, serta Bahagian Koordinasi dan Program Khas (BKPK) sebagai urus setia pemantauan.

Antara mekanisme yang digunakan termasuk pelaporan berkala bulanan, lawatan tapak secara berjadual, serta tindakan susulan terhadap projek bermasalah oleh agensi pelaksana.

Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata sekiranya berlaku kelewatan atau kegagalan mencapai sasaran, kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas secara berperingkat termasuk pengeluaran surat teguran rasmi, arahan pelan pemulihan serta pemantauan lebih kerap melalui mesyuarat khas dan lawatan tapak.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan kontraktual seperti pengenaan Liquidated Ascertained Damages (LAD) akan dilaksanakan sekiranya kelewatan berpunca daripada kecuaian pihak kontraktor, manakala dalam kes yang lebih serius, kontrak boleh ditamatkan dan kontraktor baharu dilantik tertakluk kepada peraturan kewangan semasa.

“Pendekatan ini memastikan bukan sahaja aspek pelaporan diberi penekanan, tetapi juga libat urus berterusan, penyelarasan rentas jabatan serta intervensi awal supaya Belanjawan 2026 benar-benar mencapai sasaran yang ditetapkan,” jelasnya.

Dalam soalan tambahan, Dato' Hadi meminta penjelasan mengenai langkah mitigasi kerajaan negeri dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Menjawab perkara itu, Menteri Besar menjelaskan bahawa kerajaan negeri turut melaksanakan tiga pendekatan tambahan iaitu pengukuhan tadbir urus kewangan berdisiplin, pelaksanaan bajet berimpak tinggi, serta pengukuhan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan di Kelantan.

Pautan berjaya disalin!