Accessibility Tools

Skip to main content

493 permohonan lesen mendulang emas diterima sejak Januari, 333 diluluskan – TMB Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 23 April – Sebanyak 493 permohonan lesen mendulang emas berskala kecil telah diterima oleh kerajaan negeri sejak pembukaannya pada Januari 2026, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Dato' Hassan.

Menurutnya daripada jumlah itu, sebanyak 333 permohonan telah diluluskan selepas melalui proses penilaian ketat berdasarkan syarat serta garis panduan yang ditetapkan. Bagaimanapun, hanya 54 pemohon telah mengambil lesen masing-masing setakat ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Galas YB Dato' Mohd Syahbuddin Hashim pada Persidangan  Kali Yang  Pertama Bagu Temooh Penggal  Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang  Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Menjawab soalan tambahan mengenai tahap penglibatan pemegang lesen, Dato' Dr Mohamed Fadzli menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak dapat memastikan sama ada semua penerima lesen aktif menjalankan aktiviti mendulang.

“Ini kerana kebanyakan daripada mereka melakukannya secara sambilan dan bukan sepenuh masa,” jelasnya.

Katanya lagi, dalam usaha memastikan aktiviti mendulang dijalankan secara teratur, kerajaan negeri telah memberi kebenaran kepada dua syarikat untuk membeli emas daripada pendulang bagi mengelakkan eksploitasi serta memastikan pematuhan kepada peraturan.

Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif lesen mendulang membuka peluang kepada rakyat terlibat dalam aktiviti ekonomi berasaskan mineral, khususnya emas, yang sebelum ini memerlukan modal besar untuk diusahakan.

Sementara itu, kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan (PTG) bersama agensi teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terus menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan aktiviti tersebut tidak menjejaskan alam sekitar.

Tambahnya, semua lesen yang dikeluarkan tertakluk kepada syarat teknikal ketat, termasuk penetapan kawasan, kaedah kerja serta pematuhan garis panduan alam sekitar seperti yang diperuntukkan dalam enakmen mineral negeri.

“Langkah ini bukan untuk tujuan perniagaan semata-mata, tetapi bagi memastikan keselamatan pendulang serta pemeliharaan ekosistem sungai dan kawasan sekitarnya,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!