Penambahbaikan enakmen syariah diteruskan secara sistematik
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARULNAIM, 23 April — Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh kerangka perundangan Islam apabila beberapa enakmen utama kini berada dalam fasa penelitian, pemurnian serta pelaksanaan secara berperingkat, sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan dalam memartabatkan sistem perundangan syariah negeri.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Persidangan Kali Yang Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, semalam.
Beliau menjelaskan bahawa Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 2002 kini sedang melalui proses penelitian di peringkat pemurnian oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK), susulan beberapa penambahbaikan yang telah dibuat oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri.
“Semakan serta cadangan penambahbaikan tersebut telah dikemukakan pada 26 Februari lalu dan kini sedang diteliti bagi memastikan pelaksanaannya lebih mantap serta selari dengan keperluan semasa,” katanya.
Menurutnya, perkembangan sama turut melibatkan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah, yang mana pindaan terkini telah diluluskan pada tahun 2022 dan mula dikuatkuasakan pada 17 Mac 2024, sekali gus menandakan pelaksanaan yang lebih tersusun dalam aspek tatacara jenayah syariah di negeri ini.
Dalam masa sama, beliau menjawab persoalan berkaitan cadangan menggubal rang undang-undang baharu bagi membasmi ajaran sesat, dengan menegaskan bahawa peruntukan sedia ada sebenarnya sudah mencukupi.
Jelasnya, dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah I 2019, khususnya Seksyen 7, telah diperuntukkan hukuman terhadap pihak yang memutarbelitkan ajaran Islam, manakala Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan melalui Perkara 119 (1) turut memperincikan kesalahan serta tindakan terhadap penyebaran ajaran sesat.
“Walaupun terdapat cadangan untuk mewujudkan undang-undang baharu, kerajaan negeri akan meneliti perkara tersebut selepas selesai pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah I 2019 serta pewartaan undang-undang keluarga Islam,” jelasnya.
Mengulas mengenai pengurusan peguam syarie, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri kini mengguna pakai Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah (Pindaan) 1998 serta Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 2000 dalam memastikan tadbir urus yang berkesan.
Tambahnya, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi meneliti pindaan terhadap kaedah-kaedah tersebut dan kini berada di peringkat akhir.
“Cadangan penambahbaikan ini turut melibatkan sumbang saran daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan Mahkamah Syariah bagi memastikan sistem peguam syarie di Kelantan lebih tersusun, termasuk cadangan untuk mengasingkannya daripada enakmen pentadbiran sedia ada,” katanya.
Dalam aspek penguatkuasaan pula, kerajaan negeri telah bersetuju secara dasar untuk memperkasa Jabatan Penguatkuasaan Syariah di bawah JAHEIK melalui peningkatan dari segi infrastruktur, logistik serta sumber manusia, tertakluk kepada kemampuan kewangan semasa.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu kertas kerja berkaitan pemerkasaan jabatan tersebut telah diangkat dan kini berada di peringkat Bahagian Pengurusan Sumber Manusia sejak Julai 2025.
“Kerajaan negeri juga sedang meneliti penambahan pegawai gred 41 bagi memastikan operasi serbuan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih profesional, berintegriti serta mematuhi lunas undang-undang,” ujarnya.








