Meranti, Penambang dipilih sebagai Kampung Aspirasi Bebas Dadah
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 10 Jun — Kampung Meranti di Pasir Mas dan Kampung Penambang di Kota Bharu dipilih sebagai lokasi perintis Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD) dalam usaha membentuk komuniti yang lebih prihatin, berdaya tahan dan bebas daripada ancaman penyalahgunaan dadah di Kelantan.
Penolong Pegawai Antidadah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kelantan Muhammad Wafi Kamarudin berkata, pemilihan kedua-dua kampung itu bertujuan mewujudkan model komuniti bebas dadah yang boleh dicontohi oleh kawasan lain di seluruh negeri.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Program Live FOKUS Siri Ke-9 bertajuk “Isu Dadah di Kelantan: Apa yang Kita Perlu Tahu?” anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN), semalam.
Penolong Pegawai Antidadah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kelantan, Muhammad Wafi Kamarudin
Menurutnya, inisiatif KABD merupakan antara pendekatan strategik AADK dalam memperkukuh usaha pencegahan dadah di peringkat akar umbi melalui penglibatan aktif masyarakat setempat.
“Tujuan pemilihan dua kampung ini adalah untuk dijadikan contoh kepada kampung-kampung lain, sama ada dari segi kejayaan membendung penyalahgunaan dadah mahupun komitmen komuniti membantu AADK.
“Kita mahu menjadikan dua kawasan ini sebagai model komuniti bebas dadah di Kelantan yang boleh dicontohi oleh masyarakat di tempat lain,” katanya.
Beliau menjelaskan AADK melaksanakan tiga fungsi utama iaitu pencegahan, penguatkuasaan dan rawatan, dengan pelbagai program dilaksanakan secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya penyalahgunaan dadah.
“Apabila kita bercakap mengenai pencegahan, fokus kita merangkumi semua lapisan masyarakat termasuk belia, remaja, golongan dewasa dan komuniti setempat.
“Antara program yang dijalankan ialah pemasangan papan tanda pencegahan, bengkel, ceramah, pocket talk serta kem khas untuk golongan belia dan keluarga berisiko,” ujarnya.
Menurutnya, keluarga berisiko merujuk kepada keluarga yang mempunyai ahli atau saudara-mara terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan memerlukan sokongan serta intervensi awal bagi mengelakkan masalah berlarutan.
Katanya lagi, setiap program yang dilaksanakan dirangka berdasarkan keperluan setempat memandangkan cabaran yang dihadapi oleh komuniti di kawasan kampung, bandar dan lokaliti tertentu adalah berbeza.
Selain program komuniti, AADK turut melaksanakan pelbagai aktiviti pencegahan di sekolah setiap tahun termasuk ujian saringan air kencing terhadap pelajar berisiko sebagai langkah pengesanan awal.
Dalam pada itu, Muhammad Wafi merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan khususnya Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan pejabat-pejabat jajahan yang sentiasa menyokong usaha AADK melalui penyediaan kemudahan, sumber serta dana.
Beliau turut menghargai kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang membenarkan penggunaan premis masjid bagi pelaksanaan program kerohanian untuk klien AADK.
“Terima kasih juga kepada NGO PEMADAM Negeri Kelantan, Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS), Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) serta pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan yang sentiasa membantu menjayakan program dan bengkel pencegahan dadah untuk masyarakat,” ujarnya.










