Accessibility Tools

Skip to main content

RM72,000 Tabung Amal DUN Kijang bantu mangsa kebakaran Kampung Kedai Buloh

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 10 Jun — Sebanyak RM72,000 hasil sumbangan orang ramai menerusi Tabung Amal DUN Kijang berjaya diagihkan kepada mangsa kebakaran Kampung Kedai Buloh sebagai usaha membantu mereka meneruskan kehidupan selepas berdepan kehilangan kediaman dan harta benda dalam kejadian pada 3 April lalu.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang YB Dato' Izani Husin berkata, agihan bantuan tersebut dilaksanakan selepas tabung berkenaan ditutup minggu lalu bagi membolehkan keseluruhan kutipan disalurkan kepada mangsa yang terjejas.

“Minggu lalu kami bersetuju untuk menutup Tabung Kebakaran Kampung Kedai Buloh yang dibuka susulan kejadian pada 3 April lalu dan menetapkan untuk mengagihkan sumbangan kepada mangsa pada hari ini.

“Alhamdulillah, hasil sumbangan orang ramai melalui Tabung Amal DUN Kijang sebanyak RM72,000 berjaya dikumpulkan bagi membantu meringankan beban mangsa yang terkesan akibat kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan media selepas menyampaikan sumbangan itu di Pusat Khidmat DUN Kijang, semalam.

Menurutnya, pengagihan bantuan dibuat berdasarkan tahap kerosakan yang dialami oleh setiap mangsa bagi memastikan bantuan disalurkan secara adil dan menepati keperluan.

Sebanyak RM9,000 diperuntukkan kepada setiap empat buah rumah yang musnah sepenuhnya, manakala empat lagi rumah menerima bantuan sebanyak RM7,000 setiap satu.

“Baki bantuan diagihkan mengikut tahap kerosakan yang dialami oleh mangsa-mangsa lain,” jelasnya.

Beliau menyifatkan bantuan tersebut sebagai manifestasi keprihatinan masyarakat yang tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu mangsa bangkit semula selepas ditimpa musibah.

Katanya, walaupun bantuan kewangan tidak mampu menggantikan kehilangan yang dialami, namun ia membawa mesej bahawa mangsa tidak bersendirian dalam menghadapi ujian tersebut.

“Ketika menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa di Kampung Kedai Buloh, saya teringat kepada mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Gok Kapur yang kini sedang melalui ujian yang sama.

“Wang tidak mampu menggantikan rumah dan kenangan yang musnah, namun sekurang-kurangnya bantuan ini memberi sedikit kelegaan dan menunjukkan bahawa mereka tidak bersendirian menghadapi dugaan tersebut,” ujarnya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang menjayakan tabung berkenaan sehingga bantuan dapat disalurkan kepada mangsa yang memerlukan.

“Terima kasih kepada semua penyumbang yang telah menghulurkan bantuan. Setiap ringgit yang disumbangkan membawa harapan kepada mereka yang sedang berhadapan dengan ujian kehidupan.

“Selepas selesainya agihan bantuan kepada mangsa Kampung Kedai Buloh, fokus kita bersama kini adalah untuk membantu pula mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Gok Kapur yang turut memerlukan sokongan dan perhatian semua pihak,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!