Accessibility Tools

Skip to main content

RM166,000 bantuan kebajikan disalur kepada 473 penerima di DUN Mengkebang

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KUALA KRAI, 10 Jun — Sebanyak RM166,000 bantuan kebajikan dan pembangunan sosial disalurkan kepada 473 penerima di DUN Mengkebang menerusi pelbagai skim bantuan Kerajaan Negeri Kelantan dalam Program Himpunan Armalah dan Penyampaian Bantuan Skim Pendidikan Anak Yatim DUN Mengkebang 2026 yang berlangsung di Dewan Tuan Guru Haji Abdul Rahman, Pondok Sungai Durian, semalam.

Bantuan tersebut melibatkan golongan armalah, anak yatim, peserta Ladang Rakyat serta pasangan yang menerima manfaat Skim Gerbang Az-Ziwaj, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan kebajikan rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang YB Zubir Abu Bakar berkata, bantuan yang disalurkan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat pembelaan sewajarnya.

“Pelbagai skim bantuan yang diperkenalkan kerajaan negeri membuktikan komitmen berterusan dalam membantu rakyat tanpa mengira latar belakang, terutama golongan armalah, anak yatim dan keluarga yang memerlukan.

“Usaha ini diharap dapat meringankan beban kehidupan mereka dan menjadi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup serta kesejahteraan masyarakat,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Dalam program tersebut, sebanyak 254 penerima menerima Bantuan Ad Hoc Armalah melibatkan peruntukan keseluruhan RM60,000.

Selain itu, 16 penerima menerima Bantuan Sosioekonomi Armalah berjumlah RM8,000 sebagai galakan untuk meningkatkan pendapatan keluarga melalui aktiviti ekonomi yang produktif.

Bagi Skim Pendidikan Anak Yatim dan Anak Armalah, 100 pelajar menerima bantuan keperluan pendidikan dan persekolahan berjumlah RM20,000.

Seterusnya, 100 peserta Ladang Rakyat menerima agihan berjumlah RM75,000 sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh agenda pembangunan ekonomi rakyat.

Turut diraikan, tiga pasangan raja sehari melalui Skim Gerbang Az-Ziwaj dengan kadar RM1,000 kepada setiap suami bagi membantu memulakan kehidupan berkeluarga.

Menurut YB Zubir, kerajaan negeri akan terus memperkasa program kebajikan dan pembangunan masyarakat bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai rakyat di seluruh Kelantan.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Tokoh Usahawan Armalah DUN Mengkebang 2026 kepada Karimah Ismail sebagai penghargaan atas kegigihan beliau membangunkan perniagaan sehingga berjaya meningkatkan taraf hidup keluarga serta menjadi inspirasi kepada golongan armalah lain.

Pada majlis sama, Ketua Pengurusan Deposit Negeri Kelantan Bank Simpanan Nasional (BSN) Md Arbi Che Cob turut menyampaikan taklimat mengenai pelbagai produk dan kemudahan perbankan yang ditawarkan kepada masyarakat.

Program anjuran Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan  (U-KeKWA) dengan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan kebajikan golongan armalah dan anak yatim terus diberi perhatian.

Sehubungan itu, YB Zubir merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan termasuk Setiausaha Pusat Khidmat DUN Mengkebang Kamaruddin Salleh, Pengelola Pembangunan Armalah DUN Mengkebang, para penghulu mukim, staf Pusat Khidmat DUN Mengkebang serta HALWA DUN Mengkebang atas komitmen dan kerjasama yang diberikan.

Pautan berjaya disalin!