Exco Kebajikan santuni mangsa kebakaran Kampung Gok Kapur, hargai komitmen petugas
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Exco
KOTA BHARU, 10 Jun – Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim turun padang menyantuni mangsa kebakaran di Kampung Gok Kapur di sini, serta menghargai komitmen semua petugas dan sukarelawan yang bertungkus-lumus membantu keluarga terjejas sejak hari pertama kejadian pada 8 Jun lalu.
Beliau berkata, tragedi yang menimpa 29 keluarga itu amat menyentuh perasaan apabila ramai mangsa kehilangan tempat berteduh dalam sekelip mata, malah ada yang hanya sempat menyelamatkan diri tanpa membawa keluar barangan berharga dan dokumen penting.
Menurutnya, ujian yang menimpa mangsa amat dirasai lebih-lebih lagi ketika sesi persekolahan baru sahaja bermula, sekali gus menuntut tindakan segera bagi memastikan kebajikan keluarga terlibat terus terbela.
"Sejurus menerima maklumat mengenai kejadian ini, saya terus mengarahkan semua agensi berkaitan turun ke lapangan bagi menyelaras bantuan dan memastikan keperluan mangsa dapat ditangani dengan segera," katanya di laman rasmi, semalam.
Beliau juga mengakui, lawatan ke lokasi kejadian membolehkan beliau melihat sendiri keadaan mangsa selain mendengar keperluan yang diperlukan bagi membantu mereka meneruskan kehidupan selepas ditimpa musibah.
"Alhamdulillah, sedikit bantuan segera dapat dihulurkan kepada mangsa sementara usaha sedang giat dijalankan oleh agensi berkaitan bagi menyediakan bantuan susulan demi kelangsungan hidup keluarga yang terjejas serta memastikan pembelajaran anak-anak mereka tidak terabai," ujarnya.
Dato' Rohani turut menyeru seluruh rakyat Kelantan dan Malaysia untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran sebagai tanda keprihatinan dan solidariti terhadap mereka yang sedang berdepan ujian berat.
"Semoga bantuan yang disalurkan menjadi sinar harapan dan sumber kekuatan kepada mangsa.
Mudah-mudahan setiap sumbangan yang diberikan akan mendapat ganjaran sebaik-baik pahala daripada Allah SWT," katanya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang YB Dato' Dr Izani Husin, Pusat Khidmat DUN Kijang, penghulu serta seluruh pasukan kerja yang telah turun membantu mangsa sejak awal kejadian.
Katanya, komitmen semua pihak yang tidak henti-henti menguruskan pelbagai keperluan mangsa, memberi nasihat serta menyuntik semangat kepada keluarga terjejas amat dihargai dan wajar dicontohi.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua petugas yang telah mencurahkan tenaga dan masa membantu mangsa kebakaran. Semoga segala usaha dan pengorbanan mereka dibalas dengan ganjaran kebaikan di dunia dan akhirat," ujarnya.












