Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan-FAMA berusaha jadikan RTC Tunjung hab agromakanan strategik

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco

KOTA DARULNAIM, 10 Jun — Kerajaan Negeri Kelantan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membincangkan usaha memperkukuh peranan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung sebagai hab pemasaran dan pengumpulan hasil agromakanan yang strategik, sekali gus memperkasakan rantaian bekalan serta memperluas pasaran produk pertanian negeri.

Perkara tersebut menjadi fokus utama sempena kunjungan hormat Pengarah FAMA Kelantan Muhamad Razis Samsu kepada Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, pada Isnin.

Dato’ Tuan Mohd Saripudin berkata, RTC Tunjung memainkan peranan penting sebagai pusat pengumpulan dan pemasaran hasil agromakanan yang menghubungkan pengeluar dengan pasaran secara lebih tersusun dan berkesan.

“Pertemuan ini membuka ruang perbincangan yang konstruktif berkaitan perkembangan semasa Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung sebagai hab pemasaran dan pengumpulan hasil agromakanan yang strategik di negeri Kelantan,” katanya menerusi media sosial, pada Isnin.

Menurutnya, kedua-dua pihak turut meneliti strategi memperkukuh pemasaran digital bagi membantu usahawan tani tempatan meningkatkan daya saing serta memperluas capaian pasaran selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

Katanya lagi, penggunaan platform digital kini menjadi antara elemen penting dalam mempromosikan produk agromakanan tempatan kepada lebih ramai pengguna, sekali gus meningkatkan nilai jualan dan pendapatan pengusaha.

Selain itu, pertemuan berkenaan turut membincangkan potensi pengembangan pasaran antarabangsa bagi produk agromakanan Kelantan yang mempunyai nilai komersial tinggi.

“Turut dibincangkan potensi pengembangan pasaran luar negara bagi produk agromakanan Kelantan, termasuk memperkukuhkan jaringan pemasaran antarabangsa serta meningkatkan nilai tambah produk tempatan agar mampu bersaing di peringkat global,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, kerjasama erat Kerajaan Negeri Kelantan dan FAMA penting dalam memastikan sektor agromakanan terus berkembang sebagai antara pemacu ekonomi negeri.

“Semoga hubungan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan FAMA terus diperkukuhkan demi memajukan sektor agromakanan, meningkatkan pendapatan pengusaha serta memastikan produk keluaran Kelantan terus mendapat tempat di pasaran domestik dan antarabangsa,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!