Accessibility Tools

Skip to main content

Insiden Kampung Gok Kapur: Rumah rapat, angin kencang punca api cepat merebak

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 9 Jun — Kedudukan rumah yang terlalu rapat, faktor cuaca panas dan tiupan angin yang kuat dikenal pasti antara punca utama insiden kebakaran di Kampung Gok Kapur merebak dengan pantas sehingga memusnahkan 27 rumah berpenghuni, semalam.

Penguasa Kanan Bomba II merangkap Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Khairul Ariffin Che Ramli berkata, lebih 90 peratus struktur rumah yang terlibat diperbuat daripada kayu, sekali gus mempercepatkan kemerebakan api dalam tempoh yang singkat.

“Selain itu, kedudukan rumah yang terlalu rapat dengan jarak antara 2 hingga 5 meter menyebabkan bahangan api mudah merebak ke premis berhampiran.

“Faktor cuaca dan tiupan angin yang kuat serta berubah-ubah turut menyumbang kepada kadar kemerebakan api yang lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat sempena lawatan Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud ke tapak kebakaran Kampung Gok Kapur, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, kebakaran itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 4,200 meter persegi atau 1.5 ekar yang menempatkan keseluruhan 45 buah rumah.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 29 rumah terjejas dan 27 premis daripadanya disahkan sebagai rumah berpenghuni yang musnah terbakar.

“Insiden ini menjejaskan 27 keluarga dan melibatkan 110 penduduk,” jelasnya.

Khairul Ariffin juga memaklumkan, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.34 tengah hari sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu digerakkan ke lokasi dan tiba 5 minit kemudian pada pukul 12.39 tengah hari.

Beliau menjelaskan, jarak lokasi kejadian dari balai bomba kira-kira 3 kilometer dan kebakaran utama berjaya dikawal sepenuhnya sekitar jam 4 petang hasil tindakan pantas anggota penyelamat.

“Bagaimanapun, operasi diteruskan bagi melaksanakan kerja-kerja overhaul untuk memastikan bara api dipadamkan sepenuhnya.

“Operasi pemadaman dan pemeriksaan keselamatan disahkan selesai sepenuhnya pada jam 1.20 pagi,” katanya.

Tambahnya, pemantauan pada pagi ini mendapati masih terdapat sisa asap kecil di beberapa lokasi dan pasukan bomba segera melaksanakan proses pengairan menyeluruh (drenching) bagi mengelakkan kebakaran berulang.

Operasi pemadaman melibatkan 57 anggota daripada empat balai bomba iaitu BBP Kota Bharu, BBP Tunjong, BBP Kota Darulnaim dan BBP Pengkalan Chepa.

Operasi tersebut turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi kawalan lalu lintas serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kota Jembal dan PBS Pengkalan Chepa.

"Sebanyak empat jentera pemadam kebakaran dan dua lori tangki air digunakan sepanjang operasi, dengan kapasiti masing-masing 20,000 liter dan 10,000 liter. Bekalan air diperoleh daripada pili bomba, lori tangki air serta sumber air terbuka dari Sungai Kelantan," katanya.

Selanjutnya, Khairul Ariffin berkata siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran masih dijalankan oleh pasukan forensik bomba.

"Berdasarkan maklumat awal daripada penduduk setempat, siasatan kini tertumpu kepada satu titik permulaan kebakaran di sebuah rumah. 

"Pasukan forensik sedang meneliti pelbagai kemungkinan termasuk kegagalan sistem elektrik, unsur khianat atau faktor lain yang boleh menyebabkan kebakaran berlaku. Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih belum dapat dimuktamadkan kerana siasatan rasmi masih diteruskan,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!