RM1,000 bantuan segera kepada setiap keluarga mangsa kebakaran Gok Kapur
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 9 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan menyalurkan bantuan segera sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang terjejas dalam kebakaran besar di Kampung Cina, Gok Kapur bagi membantu meringankan beban mangsa yang kehilangan kediaman dan harta benda.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, bantuan melalui Tabung Serambi Mekah itu telah disampaikan kepada semua keluarga yang terlibat sebagai langkah awal membantu mereka meneruskan kehidupan selepas ditimpa musibah.
Menurutnya, kerajaan negeri amat berdukacita dengan kejadian yang mengakibatkan 27 buah rumah musnah dan menjejaskan seramai 110 mangsa daripada beberapa keluarga.
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud
"Kita telah menyampaikan bantuan awal sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa melalui Tabung Serambi Mekah bagi meringankan beban yang ditanggung mereka dalam keadaan yang sangat mencabar ini," katanya ketika melawat lokasi kebakaran di Kampung Gok Kapur, hari ini.
Beliau memaklumkan, kerajaan negeri turut mengarahkan agensi berkaitan menyelaras bantuan kecemasan dengan segera termasuk penyediaan tempat perlindungan sementara, bekalan makanan dan keperluan asas kepada semua mangsa.
Selain bantuan kewangan, pelbagai bentuk bantuan lain turut disalurkan oleh beberapa agensi dan syarikat berkaitan kerajaan negeri termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Kelantan (PURNAMA), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Dato' Mohd Nassuruddin turut melahirkan rasa syukur kerana tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan dalam tragedi tersebut.
"Kita bersyukur kerana semua mangsa selamat. Pada masa yang sama, saya merakamkan penghargaan kepada pihak bomba, polis, agensi penyelamat serta sukarelawan yang bertindak pantas mengawal kebakaran daripada terus merebak," katanya.
Jelasnya, mangsa lelaki kini ditempatkan sementara di surau berhampiran yang tidak terjejas dalam kebakaran, manakala mangsa wanita ditempatkan di Masjid Sultan Ismail Petra Mukim Banggol.
Mengenai perancangan penempatan jangka panjang, beliau berkata kerajaan negeri akan meneliti terlebih dahulu status pemilikan tanah dan keadaan setiap keluarga sebelum membuat keputusan lanjut.
"Perkara berkaitan pembinaan semula rumah atau penempatan kekal akan dibincangkan kemudian. Kita perlu melihat beberapa aspek termasuk status tanah yang difahamkan sebahagiannya merupakan tanah sewaan," ujarnya.
Beliau turut menyeru orang ramai dan pihak korporat agar terus menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban mangsa serta mempercepatkan proses pemulihan mereka.














