Accessibility Tools

Skip to main content

ADN Kijang salur sumbangan peribadi kepada mangsa kebakaran Kampung Cina Gok Kapur

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco

KOTA DARULNAIM, 9 Jun - Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang YB Dato' Dr Izani Husin menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga yang terjejas dalam kejadian kebakaran di Kampung Cina Gok Kapur.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan meminta penghulu mengumpulkan semua mangsa kebakaran bagi membolehkan satu pertemuan diadakan dalam suasana yang lebih tenang selain menyampaikan sumbangan kepada setiap keluarga yang terlibat, hari ini.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menasihatkan mangsa agar terus tabah menghadapi ujian yang menimpa mereka.

"Benar, kebakaran telah memusnahkan rumah dan harta benda yang dikumpul bertahun-tahun lamanya, namun jangan sesekali hilang harapan kepada Allah SWT. Setiap ujian yang diturunkan pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya," katanya dalam media sosial, hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu menjadi ujian kepada mangsa yang kehilangan tempat berteduh dan turut menjadi amanah dan tanggungjawab buatnya dalam menguruskan bantuan serta memastikan kebajikan mereka terus terbela.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa, termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat, pempengaruh dan individu perseorangan.

Beliau turut membuka ruang kepada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa kebakaran berkenaan.

"Semoga setiap sumbangan yang dihulurkan menjadi asbab meringankan beban mangsa dan diberi ganjaran yang besar di sisi Allah SWT," katanya.

Dalam kebakaran yang berlaku tengahari semalam, sebanyak 27 buah rumah musnah yang menjejaskan 110 mangsa.

Pautan berjaya disalin!