14 warga Guchil terima manfaat skim kebajikan dan penghargaan kerajaan negeri
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KUALA KRAI, 9 Jun – Sebanyak 14 warga DUN Guchil menerima manfaat menerusi pelbagai skim kebajikan dan penghargaan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dalam satu majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Guchil semalam.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil YB Hilmi Abdullah berkata, sumbangan tersebut melibatkan penerima Skim Bantuan Pelajar Cemerlang, Skim Gerbang Az-Ziwaaj dan Manfaat Kifaalah Kerajaan Negeri Kelantan.
Menurutnya yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, program itu merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri dalam menghargai kejayaan rakyat, meraikan fasa penting kehidupan serta membantu keluarga yang ditimpa musibah.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan meluangkan masa ke Pusat Khidmat DUN Guchil bagi menyampaikan sumbangan kepada penerima yang layak di bawah skim-skim yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan,” katanya menerusi media rasmi, semalam.
Beliau memaklumkan, sebanyak enam orang menerima Skim Kifaalah yang disalurkan kepada wasi yang kehilangan ahli keluarga, manakala dua pasangan menerima Skim Gerbang Az-Ziwaaj.
Selain itu, enam pelajar turut menerima Skim Bantuan Pelajar Cemerlang sebagai penghargaan atas kejayaan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Menurutnya, pelaksanaan pelbagai skim kebajikan dan penghargaan tersebut membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Kelantan dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian merangkumi pelbagai peringkat kehidupan masyarakat.
Beliau berharap inisiatif yang dilaksanakan itu dapat memberi manfaat kepada rakyat serta memperkukuhkan hubungan kerajaan negeri dan masyarakat melalui pelbagai bentuk bantuan yang disediakan.












