Kelantan-Korea bincang terokai industri ternakan, tenaga hijau dan unsur nadir bumi
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 10 Jun — Industri ternakan ayam, pembangunan tenaga boleh baharu dan penerokaan unsur nadir bumi dikenal pasti sebagai antara sektor strategik yang berpotensi diterokai melalui kerjasama antara Kelantan dan Republik Korea, sekali gus membuka peluang baharu kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sektor-sektor berimpak tinggi itu menjadi antara fokus utama yang dibincangkan semasa menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung-Bae di Pejabat Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mabna Kota Darulnaim pada 4 Jun lalu.
Menurutnya, pertemuan tersebut membuka ruang kepada pelbagai bentuk kerjasama strategik yang mampu memperkukuh hubungan ekonomi antara Kelantan dan Republik Korea pada masa hadapan.
“Antara sektor yang diberi perhatian ialah industri ternakan ayam, pembangunan tenaga boleh baharu serta potensi penerokaan dan pembangunan unsur nadir bumi yang mempunyai nilai tinggi dalam rantaian industri teknologi global.
“Bidang-bidang ini mempunyai potensi besar untuk diterokai melalui kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, khususnya dalam memperkasakan pembangunan ekonomi negeri,” katanya menerusi media sosial, pada Khamis lepas.
Beliau turut memaklumkan, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai perkembangan ekonomi antarabangsa semasa termasuk kesan persaingan ekonomi antara Amerika Syarikat dan China terhadap landskap perdagangan global.
Menurutnya lagi, perubahan dalam ekonomi dunia membuka peluang baharu yang perlu dimanfaatkan secara strategik bagi meningkatkan daya saing ekonomi negeri.
“Perubahan yang berlaku dalam ekonomi global membuka pelbagai peluang baharu yang perlu diterokai secara strategik agar Kelantan dapat memanfaatkan perkembangan tersebut untuk meningkatkan daya saing ekonomi negeri,” jelasnya.
Dalam pertemuan itu juga, potensi pembangunan Tanah Tinggi Lojing turut dibincangkan sebagai destinasi pelancongan dan agro-pelancongan bertaraf antarabangsa.
Katanya, kawasan tersebut memiliki keunikan alam semula jadi dan kelebihan sektor pertanian tanah tinggi yang berpotensi menjadi tarikan utama pelancong domestik dan antarabangsa.
Selain itu, aspek pembangunan infrastruktur turut menjadi agenda penting perbincangan termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka memberi impak besar kepada sektor logistik dan perdagangan negeri.
"Projek tersebut berupaya menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan kecekapan pengangkutan kargo, peluasan akses pasaran dan pengukuhan rantaian bekalan industri tempatan.
“Keupayaan ECRL dalam memperkukuh sistem logistik dijangka memberi nilai tambah kepada sektor perdagangan dan pelaburan serta meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkongsi aspirasi Kerajaan Negeri berkaitan pembangunan baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang dilihat mampu merangsang pertumbuhan perdagangan, pelaburan dan pelancongan.
Beliau optimis, pembangunan infrastruktur strategik tersebut berpotensi memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai pintu masuk utama ke Pantai Timur Semenanjung serta meningkatkan keterhubungan dengan pasaran domestik dan antarabangsa.
Turut serta dalam sesi kunjung hormat tersebut ialah Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.












