Accessibility Tools

Skip to main content

MPKB-BRI, MBPJ hulur bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Cina

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 10 Jun – Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Cina, di sini, hari ini.

MPKB-BRI menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan makanan melalui Yang Dipertuanya, Dato’ Zulkiflee Ab Rahman, manakala MBPJ menghulurkan bantuan wang tunai yang disampaikan Datuk Bandarnya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon.

Dato’ Zulkiflee berkata MPKB-BRI akan terus bersama mangsa bagi membantu meringankan kesusahan yang dihadapi susulan kejadian itu.

"Musibah yang menimpa mangsa merupakan satu ujian dan berharap mereka dapat bersabar dalam menghadapi dugaan berkenaan. “Pada hari ini, insya Allah MPKB-BRI memberi sedikit bantuan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dengan kebakaran.

“Diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kesusahan yang ditanggung oleh tuan-tuan dan puan-puan semua,” katanya.

Beliau turut yakin dalam tempoh dua atau tiga hari lagi lebih ramai pemimpin dan pembesar negeri akan hadir untuk meninjau keadaan serta menghulurkan bantuan kepada mangsa.

“Ini menandakan tuan-tuan dan puan-puan tidak keseorangan dalam menghadapi situasi ini. Kita akan bersama-sama dan membantu sedaya upaya yang mampu,” ujarnya.

Sementara itu, Dato’ Mohamad Zahri berkata kunjungan beliau ke MPKB-BRI adalah bagi mengajak rakan-rakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kota Bharu dan seluruh negara bersama-sama meraikan sambutan ulang tahun ke-20 Bandar Raya Petaling Jaya yang akan berlangsung dari 16 hingga 21 Jun ini.

Namun, katanya, sebaik tiba di Kota Bharu beliau dimaklumkan mengenai kejadian kebakaran yang menimpa penduduk di kawasan berkenaan.

“Kami sama-sama bersedih atas perkara yang berlaku dan berharap sumbangan kecil daripada kami dapat mengurangkan tanggungan yang diterima mangsa.

“Kami faham kerana apabila berlaku kebakaran, memang banyak perkara yang perlu diselesaikan.

“Walaupun mangsa berada di luar kawasan Petaling Jaya, kebetulan kami berada di sini dan mahu menyantuni mereka yang terlibat,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar mangsa tabah menghadapi ujian itu dan berharap lebih ramai pemimpin akan tampil menghulurkan bantuan dalam masa terdekat.

“Insya Allah kita berdoa semoga tuan-tuan dan puan-puan akan mendapat kediaman semula selepas ini,” katanya.

Hadir sama, Ketua Whip Ahli Majlis MPKB-BRI Mohd Nuri Yaacob dan Setiausaha MPKB-BRI Mohamad Othman.

Pautan berjaya disalin!