Accessibility Tools

Skip to main content

Inisiatif pelancongan Kelantan mula tunjuk hasil, raih perhatian lebih luas

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA DARULNAIM, 11 Jun — Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud memuji pelbagai inisiatif yang digerakkan di bawah kepimpinan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor yang kini semakin menampakkan hasil apabila produk pelancongan baharu, program kebudayaan dan promosi negeri mula mendapat perhatian yang lebih meluas.

Beliau berkata, perkembangan positif tersebut mencerminkan keberkesanan perancangan strategik serta kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi pelaksana dan pemain industri pelancongan dalam memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai destinasi pilihan pelancong.

Menurutnya, pelbagai produk pelancongan baharu yang diperkenalkan, di samping penganjuran program kebudayaan dan usaha promosi yang berterusan, berjaya meningkatkan keterlihatan negeri di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Sepanjang pagi semalam, saya mendapat beberapa perkembangan dan input baharu berkaitan sektor pelancongan negeri yang memberi gambaran positif terhadap hala tuju industri ini dalam tempoh mendatang,” katanya menerusi media sosial, pada Rabu.

Beliau memaklumkan, perkembangan tersebut membuktikan sektor pelancongan mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai antara pemacu utama ekonomi negeri.

Dalam masa sama, Dato' Mohd Nassuruddin menegaskan kerajaan negeri kekal komited memberi tumpuan kepada agenda pembangunan, kesejahteraan rakyat dan pengukuhan sektor strategik yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi mampan.

“Ketika ada pihak yang terus tenggelam dalam hiruk-pikuk politik, Kelantan kekal memberi tumpuan kepada agenda pembangunan, ekonomi rakyat dan pengukuhan sektor-sektor strategik negeri.

“Kelantan terus bergerak, tenang, harmoni dan penuh keyakinan menuju masa depan,” jelasnya.

Beliau optimis momentum positif yang dicapai ketika ini akan terus memperkukuh industri pelancongan negeri, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada komuniti setempat, usahawan pelancongan dan ekonomi rakyat secara keseluruhan.

Pautan berjaya disalin!