Mesyuarat agung PIBG erat kerjasama pihak berkepentingan demi kecemerlangan pendidikan pelajar
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco
KOTA DARULNAIM, 11 Jun — Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan platform penting dalam memperkukuhkan hubungan antara pihak berkepentingan seperti sekolah, ibu bapa, pemimpin dan masyarakat bagi memastikan agenda pendidikan pelajar dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerjasama erat antara semua pihak merupakan asas utama kepada kejayaan serta kecemerlangan sesebuah institusi pendidikan.
Menurutnya, usaha melahirkan generasi cemerlang perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada aspek akademik, sahsiah, akhlak dan jati diri Islam yang kukuh selaras dengan aspirasi Pendidikan Rabbani Negeri Kelantan.
“Kerjasama yang erat antara semua pihak menjadi asas kepada kejayaan serta kecemerlangan sesebuah institusi pendidikan.
“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai sahsiah, akhlak dan jati diri Islam yang kukuh,” katanya menerusi media sosial, pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-17 Sekolah Menengah Ugama (Arab) Meheliah, Geting, Tumpat.
Turut hadir Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Shamsul Abu Bakar.
Dalam pada itu, Dato’ Wan Roslan merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, barisan PIBG serta ibu bapa yang sentiasa komited menyokong pelbagai usaha memperkasakan pendidikan.
Beliau berkata, penglibatan aktif ibu bapa dan komuniti sekolah amat penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta menyokong pembangunan holistik pelajar.
“Komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak membuktikan bahawa pendidikan merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan sokongan berterusan demi masa depan generasi pewaris,” jelasnya.
Beliau turut mendoakan agar segala usaha yang dilaksanakan mendapat keberkatan Allah SWT serta terus melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.










