Accessibility Tools

Skip to main content

Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil, YB Hilmi Abdullah


Sepuluh masjid dan surau DUN Guchil dipilih jayakan Program MGS

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Exco

KUALA KRAI, 11 Jun – Sebanyak sepuluh masjid dan surau di DUN Guchil dipilih sebagai lokasi pelaksanaan Program Membina Generasi Solat (MGS) 2026 bagi memperkukuh usaha melahirkan generasi muda yang celik solat dan berakhlak mulia.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil YB Hilmi Abdullah berkata, program tahunan anjuran Kerajaan Negeri Kelantan itu akan dilaksanakan di sepuluh lokasi terpilih melibatkan Masjid Mukim Kenor, Masjid Guchil, Masjid Kuala Krai, Masjid Bechah Salak, Masjid Mukim Bahagia, Madrasah Kampung Gatal, Surau Daskoh, Pondok Ribath Tualang, Madrasah Haji Mat Pahi dan Tahfiz Bechah Salak.

Menurutnya, pelancaran Program MGS Peringkat DUN Guchil 2026 telah disempurnakan di Masjid Mukim Kenor dengan kehadiran pegawai Halaqat, penghulu mukim dan mudarris yang akan menjayakan program tersebut, semalam.

“Program MGS telah diperkenalkan sejak tahun 2007 dan sehingga kini telah melahirkan lebih 300,000 alumni di seluruh negeri.

“Ia bertujuan melahirkan Generasi Celik Solat, mengimarahkan masjid serta memacu pembentukan ummah rabbani melalui pendekatan bengkel amali solat yang tersusun,” katanya di laman rasmi, hari ini.

Beliau memaklumkan, program berkenaan dikhususkan kepada kanak-kanak dan remaja berumur antara sembilan hingga 14 tahun yang akan mengikuti 20 sesi kelas amali solat sepanjang pelaksanaannya.

Menurutnya, setiap lokasi akan menempatkan kira-kira 35 peserta yang dibimbing oleh tenaga pengajar atau mudarris yang dilantik bagi memastikan objektif program dapat dicapai dengan berkesan.

“Program ini amat signifikan kerana pada satu-satu masa ia melibatkan hampir 15,750 kanak-kanak di seluruh Kelantan yang dibimbing oleh 450 orang mudarris.

“Semoga generasi yang mengikuti program ini membesar sebagai anak soleh dan solehah yang menjadikan solat sebagai amalan harian serta benteng dalam menghadapi cabaran kehidupan,” ujarnya.

YB Hilmi turut mengajak ibu bapa di DUN Guchil mengambil peluang mendaftarkan anak-anak mereka di masjid dan surau yang terlibat bagi menyertai program berkenaan.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak Halaqat DUN Guchil serta semua mudarris yang bakal mencurahkan khidmat dan tenaga dalam usaha melahirkan Generasi Rabbani Negeri Kelantan.

“Komitmen semua pihak amat penting dalam memastikan usaha membentuk generasi yang berpegang teguh kepada ajaran Islam dapat diteruskan demi masa depan ummah,” katanya.

Pautan berjaya disalin!