Accessibility Tools

Skip to main content

ADN Kuala Balah santuni 35 keluarga menerusi program SKC

Oleh: Irham Hilmi Hashim

JELI, 11 Jun – Sebanyak 35 keluarga di tiga mukim dalam Dewan Negeri (DUN) Kuala Balah disantuni menerusi Program Skuad Kita Cakna (SKC) yang dilaksanakan selama tiga hari berturut-turut bermula 8 hingga 10 Jun.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah YB Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil berkata, program berkenaan merupakan inisiatif berterusan bagi mendekati rakyat, meninjau sendiri keadaan penduduk serta memastikan kebajikan golongan yang memerlukan sentiasa diberikan perhatian.

Menurutnya, sepanjang tiga siri ziarah yang dijalankan, sebanyak 35 buah rumah telah dikunjungi melibatkan penduduk di Mukim Batu Melintang, Mukim Kuala Balah dan Mukim Pendok.

“Program ini menjadi ruang untuk bertanya khabar, mendengar sendiri denyut nadi rakyat dan melihat keadaan sebenar masyarakat yang memerlukan perhatian serta bantuan.

“Kehadiran kami bersama anggota SKC bertujuan memastikan rakyat sentiasa dekat di hati pimpinan dan tidak berasa terpinggir daripada arus pembangunan serta kebajikan yang disediakan,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pelaksanaan Program Skuad Kita Cakna DUN Kuala Balah yang melibatkan beberapa kampung di kawasan tersebut.

Pada 8 Jun lalu, program ziarah kebajikan di Mukim Batu Melintang melibatkan kunjungan ke 12 buah rumah yang dihuni warga emas, individu yang berdepan masalah kesihatan serta keluarga yang memerlukan perhatian dan sokongan masyarakat.

Selain bertanya khabar, rombongan turut menyampaikan sumbangan dan kata-kata semangat kepada keluarga yang diziarahi sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan mereka.

Program diteruskan pada 9 Jun di Mukim Kuala Balah melibatkan kawasan Zon Kedai Kuala Balah dengan kunjungan ke 11 buah rumah. Dalam siri kedua itu, sumbangan turut disampaikan kepada penduduk yang memerlukan selain meninjau keadaan semasa mereka.

Manakala untuk siri ketiga ziarah SKC diadakan di Mukim Pendok melibatkan Kampung Belimbing, Kampung Bukit Ipoh dan Kampung Lawar dengan kunjungan ke 12 buah rumah, semalam.

Menurutnya, pendekatan turun padang secara berterusan amat penting bagi membolehkan pemimpin memahami keperluan rakyat secara lebih dekat serta merangka tindakan susulan yang bersesuaian.

“Ziarah seperti ini menjadi jambatan yang mengeratkan hubungan antara pimpinan dan masyarakat. Dalam kesibukan kehidupan seharian, masih ramai yang memerlukan perhatian, sokongan dan kehadiran kita bagi meringankan beban yang mereka tanggung.

“Semoga setiap kunjungan ini dapat memberi kegembiraan, semangat dan kekuatan kepada penerima ziarah selain menyuburkan budaya cakna dalam kalangan masyarakat,” katanya yang turut ditemani isteri, Datin Siti Azisom Ibrahim.

Beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota Skuad Kita Cakna, penghulu mukim, pimpinan setempat serta penduduk yang memberikan kerjasama sepanjang program berlangsung.

"Semangat kerjasama yang ditunjukkan semua pihak membuktikan kebajikan rakyat menjadi tanggungjawab bersama yang perlu diperkasakan secara berterusan demi kesejahteraan masyarakat di DUN Kuala Balah," ujarnya.

Pautan berjaya disalin!