Accessibility Tools

Skip to main content

Dua dekad MGS lahirkan lebih 300,000 alumni, ibu bapa diseru daftar anak

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 11 Jun — Program Membina Generasi Solat (MGS) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Kelantan sejak tahun 2007 berjaya melahirkan lebih 300,000 alumni di seluruh negeri, sekali gus menjadi antara inisiatif pendidikan agama terbesar dalam membentuk generasi celik solat dan berakhlak mulia.

Sehubungan itu, ibu bapa yang mempunyai anak berusia antara tujuh hingga 15 tahun diseru mengambil peluang mendaftarkan mereka ke program berkenaan bagi memperkukuh kefahaman dan penghayatan ibadah solat sejak usia muda.

Pengelola Dakwah Halaqat Kawasan Kota Bharu Muhammad Amirul Azhar berkata, sepanjang hampir dua dekad pelaksanaannya, MGS terus memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi yang memahami tuntutan agama serta menjadikan solat sebagai asas kehidupan.

Pengelola Dakwah Halaqat Kawasan Kota Bharu, Muhammad Amirul Azhar

“MGS dilaksanakan secara percuma kepada seluruh rakyat Kelantan dan memberi tumpuan kepada kanak-kanak serta remaja berusia antara tujuh hingga 15 tahun.

“Matlamat utama program ini adalah untuk melahirkan Generasi Celik Solat, mengimarahkan masjid dan surau serta membantu membentuk Ummah Rabbani yang menjadikan solat sebagai asas kehidupan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, program itu menggunakan silibus dan modul khas yang sentiasa ditambah baik bagi memastikan kandungannya kekal relevan serta memenuhi keperluan semasa.

Katanya lagi, modul tersebut telah melalui proses penambahbaikan berterusan sejak diperkenalkan pada era Almarhum Tan Sri Dato' Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan.

“Penambahbaikan yang dilakukan dari semasa ke semasa bertujuan memastikan kandungan pembelajaran sentiasa relevan dan mampu memberi kesan positif kepada peserta yang mengikuti program ini,” katanya.

Beliau memaklumkan, antara kekuatan utama MGS ialah sistem pelaksanaannya yang tersusun serta disokong tenaga pengajar terlatih yang mengikuti kursus pemantapan sebelum mengendalikan sesi pembelajaran.

Tambahnya, semua mudarris diwajibkan mengikuti latihan khusus yang bukan sahaja memberi pendedahan terhadap kandungan modul, malah memperkukuh kaedah pedagogi bagi memastikan objektif program dapat dicapai dengan berkesan.

“Para mudarris bukan sahaja diberikan pendedahan berkaitan kandungan modul, malah turut dibimbing dari aspek kaedah pengajaran supaya objektif program dapat dicapai dengan lebih berkesan,” jelasnya.

Pada masa ini, sejumlah 450 mudarris berkhidmat di seluruh Kelantan dengan jumlah lokasi pelaksanaan program turut mencecah 450 pusat pembelajaran.

Program berkenaan dilaksanakan di 10 masjid atau surau terpilih bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan setiap lokasi menempatkan kira-kira 35 peserta yang mengikuti pembelajaran secara berjadual.

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan MGS mampu menghimpunkan seramai 15,750 peserta pada satu-satu masa dengan sokongan 450 mudarris di seluruh negeri.

“Skala pelaksanaan ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pendidikan solat dan pembangunan sahsiah generasi muda melalui institusi masjid dan surau,” ujarnya.

Beliau menyeru penglibatan aktif ibu bapa bagi memastikan lebih ramai anak mendapat pendedahan awal berkaitan ilmu dan amalan solat yang sempurna.

“Justeru, saya menyeru ibu bapa yang mempunyai anak-anak berusia tujuh hingga 15 tahun agar mendaftarkan mereka ke kelas MGS bagi memantapkan ilmu berkaitan solat.

“Bagi tujuan pendaftaran, ibu bapa boleh menghubungi Penyelaras MGS di peringkat DUN masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Kelantan, Dr Mohd Alwee Yusoff

Sementara itu, Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Kelantan Dr Mohd Alwee Yusoff berkata, Bahagian Dakwah Halaqat Negeri Kelantan telah mengadakan Kursus Mudarris Program Membina Generasi Solat (MGS) Zon 1 pada 16 Mei lalu sebagai persediaan kepada tenaga pengajar yang akan mengendalikan program tersebut.

Menurutnya, kursus berkenaan dikendalikan oleh pakar pendidikan daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu dan diketuai Pengarah IPG Kampus Bangi Dr Khairuddin Said.

Beliau berkata, penganjuran kursus tersebut bertujuan meningkatkan kemahiran pedagogi serta memperkukuh kaedah pengajaran para mudarris agar proses pembelajaran dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan berimpak tinggi.

Pautan berjaya disalin!