Accessibility Tools

Skip to main content

Kerajaan negeri tanggung sewa rumah 27 keluarga mangsa kebakaran Gok Kapur

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 11 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju menanggung kos sewaan rumah selama tiga bulan pertama bagi 27 keluarga yang terjejas dalam insiden kebakaran di Kampung Gok Kapur.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara, khususnya dalam membantu mereka mendapatkan tempat tinggal sementara yang selesa dan selamat selepas kehilangan kediaman akibat tragedi berkenaan.

Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa sementara mereka berusaha membina semula kehidupan selepas kebakaran yang memusnahkan rumah serta harta benda.

“Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju untuk menanggung kos sewaan rumah bagi tempoh tiga bulan pertama kepada 27 keluarga yang terjejas dalam insiden kebakaran di Kampung Gok Kapur.

“Bantuan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan mangsa terus terbela dan mereka mempunyai tempat tinggal yang sesuai sepanjang tempoh pemulihan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan bantuan tersebut akan diselaraskan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan proses penyaluran berjalan secara teratur, lancar dan berkesan.

Tambahnya, kerajaan negeri amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh mangsa dan keluarga mereka susulan kehilangan tempat tinggal dalam kejadian tersebut.

Sehubungan itu, katanya, pelbagai bentuk bantuan lain akan terus dipertimbangkan dan disalurkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan serta kemampuan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan beruniform, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan orang ramai yang tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran.

“Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam membantu meringankan beban mangsa yang terlibat,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!