LRA Bukit Chupak bekal 10 JLH, manfaatkan 20,000 penduduk Gua Musang
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
GUA MUSANG, 11 Jun - Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Chupak yang mempunyai keupayaan membekalkan sehingga 10 juta liter air sehari (JLH) dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 penduduk di jajahan ini.
Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nasuruddin Daud berkata projek itu membawa harapan besar kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa menerusi akses kepada bekalan air bersih yang lebih stabil, berkualiti dan berterusan.
Katanya, siapnya LRA berkenaan turut menambah keyakinan rakyat terhadap usaha berterusan kerajaan serta agensi berkaitan dalam menyediakan bekalan air yang lebih baik.
"Inilah harapan yang sekian lama didambakan oleh rakyat dan menjadi amanah yang sentiasa kami pikul demi kesejahteraan setiap keluarga di negeri Kelantan."
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Chupak, di sini, hari ini.
Ujar beliau lagi, rakyat berhak menikmati keperluan asas yang sempurna, terutama dalam aspek kesejahteraan hidup dan kemudahan awam seperti bekalan air bersih.
Justeru itu, katanya amanah itu perlu dipikul dan dilaksanakan dengan penuh komitmen bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.
Dalam pada itu, beliau berkata air bukan sekadar kemudahan asas, sebaliknya merupakan keperluan hidup yang penting kepada manusia.
"Allah SWT jadikan sumber air dari pelbagai kaedah untuk kegunaan hidupan ciptaan-Nya, antaranya melalui sungai, laut, bukit dan juga sumber air bawah tanah.
"Sebab itu apabila kita bercakap tentang pembangunan, kita tidak boleh hanya melihat kepada jalan raya, bangunan tinggi atau kawasan perindustrian semata-mata. Bekalan air yang mencukupi dan berkualiti adalah asas kepada kesejahteraan rakyat dan kemajuan sesebuah negeri," jelasnya.
Hadir sama, Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Dr. Izani Husin dan timbalannya YB Saizol Ismail, Ahli Dewan Negeri (ADN) Paloh YB Dato’ Shaari Mat Hussain, Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Dato’ Seri Ir. Jaseni Maidinsa, Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Azhar Hanafi dan Ketua Jajahan Gua Musang Mohd Roshdi Ismail.












