Menyanjung pena, memuliakan kebenaran
Oleh: Norzana Razaly
SEJARAH tidak diwarisi melalui ingatan semata-mata melainkan melalui tulisan yang direkod, disusun dan disampaikan kepada generasi seterusnya. Nah! Pada saat dunia komunikasi bergerak pantas dengan ledakan media sosial, kecerdasan buatan dan penyebaran maklumat tanpa sempadan, satu hakikat masih kekal tidak berubah ialah tamadun dibina oleh manusia yang mencatat.
Atas kesedaran inilah Kerajaan Negeri Kelantan melalui portfolio Penerangan yang diterajui exconya, YB Mohd Asri Mat Daud menzahirkan penghargaan kepada golongan jurutulis moden iaitu wartawan, editor, jurugambar, penyampai radio dan pengamal media melalui penganjuran Anugerah Media Kelantan 2026 sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang diraikan pada 29 Mei saban tahun.
Majlis yang dijadual berlangsung pada 13 Jun di Kota Bharu adalah siri yang pernah dilaksanakan tahun sebelumnya di Kuala Lumpur. Acara tersebut bukanlah sekadar acara penyampaian hadiah. Lebih penting, momen ini melambangkan pengiktirafan kerajaan negeri terhadap peranan pengamal media sebagai pencatat sejarah, penyampai maklumat dan penjaga kredibiliti masyarakat.
Tema yang dipilih, “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, membawa mesej jelas bahawa pembangunan negeri juga bergantung kepada kekuatan maklumat yang benar, tepat dan beretika.
Kedudukan istimewa
Mengimbau rekod silam, hakikatnya, penghormatan kepada golongan penulis, pencatat dan penyampai maklumat bukanlah sesuatu yang baharu dalam tradisi pemerintahan Islam. Jika ditelusuri sejarah, golongan jurutulis atau katib merupakan antara kelompok yang mendapat kedudukan istimewa dalam struktur pentadbiran negara.
Pada zaman Khulafa al-Rasyidin, khususnya era pemerintahan Saidina Umar al-Khattab, jurutulis yang mengurus surat-menyurat rasmi dan rekod kewangan dalam institusi Diwan diberikan elaun tetap daripada Baitulmal. Tugas mereka dianggap sebahagian daripada amanah negara kerana melibatkan pengurusan maklumat dan urusan rakyat.
Antara tokoh yang menonjol ialah Zaid bin Thabit RA, sahabat Nabi SAW yang terkenal sebagai penulis wahyu, pengumpul al-Quran dan pentadbir yang berwibawa. Penghormatan yang diberikan kepada beliau menunjukkan bahawa pena dan ilmu mempunyai kedudukan yang tinggi dalam tamadun Islam.
Pengiktirafan terhadap jurutulis semakin berkembang pada zaman Umawiyyah. Ketika itu ditubuhkan institusi seperti Diwan al-Rasa'il yang mengurus surat-menyurat rasmi kerajaan serta Diwan al-Khatam yang menyemak dan mengesahkan dokumen negara.
Jurutulis kanan yang dikenali sebagai Kātib al-Rasā'il menerima elaun khas, diberikan kediaman rasmi, kenderaan tunggangan dan kedudukan setaraf pembesar negeri. Bahkan, jawatan tersebut sering menjadi laluan kepada pelantikan sebagai wazir atau gabenor.
Kemuncak kegemilangan golongan jurutulis berlaku pada zaman Abbasiyyah apabila institusi Diwan al-Insha' berfungsi seperti kementerian komunikasi, penerangan dan diplomasi moden.
Aset strategik negara
Tokoh persuratan seperti Abd al-Hamid al-Katib dan Ibn al-Amid diberikan pelbagai penghormatan termasuk gelaran negara, ganjaran emas dan perak, pakaian kebesaran serta peluang menduduki jawatan tertinggi pentadbiran.
Abd al-Hamid al-Katib diabadikan dalam ungkapan terkenal, "al-kitabah bad'at bi Abd al-Hamid wa ikhtatamat bi Ibn al-Amid" yang bermaksud “seni persuratan bermula dengan Abd al-Hamid dan mencapai kemuncaknya pada Ibn al-Amid."
Ungkapan ini membuktikan bahawa kemahiran menulis pernah dianggap sebagai aset strategik negara dan simbol kemajuan sesebuah tamadun.
Tradisi penghormatan tersebut diteruskan pada zaman Abbasiyyah hingga Uthmaniyyah melalui penganugerahan khil'ah atau pakaian kebesaran diraja kepada golongan jurutulis, pengarang istana dan penyampai maklumat rasmi.
Mereka turut menerima serban khas, pedang kehormatan, kuda diraja serta cincin mohor kerajaan. Semua simbol ini membawa makna negara mengiktiraf jasa mereka dalam memelihara ilmu, rekod dan maklumat.
Pada era Uthmaniyyah pula, wujud jawatan Nişancı, iaitu ketua jurutulis diraja yang bertanggungjawab menyediakan titah Sultan dan dokumen penting kerajaan. Mereka menikmati kedudukan tinggi dalam hierarki pemerintahan dan sebahagiannya dilantik sebagai Wazir Besar.
Wartawan moden menyerupai institusi Barid
Menariknya, fungsi wartawan moden juga mempunyai persamaan dengan institusi Barid dalam tamadun Islam. Barid merupakan sistem penyampaian berita dan maklumat kerajaan, manakala Sahib al-Barid bertindak sebagai ketua maklumat yang menghantar laporan dari wilayah kepada khalifah.
Pada zaman Abbasiyyah, pegawai Barid menerima imbuhan khas dan mempunyai akses langsung kepada pemerintah kerana maklumat dianggap aset strategik yang menentukan kestabilan negara.
Pendek kata, pengamal media moden mewarisi sebahagian fungsi tradisional kātib dan sahib al-barid yang bertanggungjawab merekod, mengesahkan serta menyampaikan maklumat kepada pemerintah dan masyarakat
Justeru, apabila Kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan Anugerah Media Kelantan 2026, inisiatif ini sebenarnya meneruskan satu tradisi panjang yang pernah menjadi amalan dalam tamadun Islam. Bukannya soal hadiah atau trofi, penghormatan kepada pengamal media adalah pengiktirafan terhadap peranan mereka sebagai penyimpan memori bangsa dan penyampai kebenaran.
Sebagai permulaan, sebanyak sembilan kategori dipertandingkan meliputi bidang akhbar, televisyen, fotografi dan radio. Kategori akhbar merangkumi Anugerah Berita Akhbar Bahasa Melayu Terbaik, Laporan Khas Akhbar Bahasa Melayu Terbaik serta Berita Akhbar Bukan Bahasa Melayu Terbaik. Kategori televisyen pula melibatkan Berita TV Terbaik, Laporan Khas TV Terbaik dan Visual Terbaik.
Manakala bagi kategori fotografi, anugerah Gambar Berita Terbaik dipertandingkan, manakala kategori radio melibatkan Penyampai Radio Kerajaan Terbaik dan Penyampai Radio Swasta Terbaik.
Walaupun nilai hadiahnya sederhana, langkah ini membawa makna yang besar yang menandakan bahawa Kelantan memahami peranan media sebagai rakan strategik pembangunan.
Justeru dalam dunia yang dipenuhi maklumat bercampur fakta dan persepsi, masyarakat memerlukan wartawan yang berintegriti, jurugambar yang jujur merakam realiti dan penyampai yang bertanggungjawab terhadap setiap kata yang diucapkan.
Rumusan
Sejarah membuktikan, kerajaan yang menghargai pena lazimnya akan melahirkan tamadun yang panjang usia. Sebaliknya, tamadun yang mengabaikan ilmu dan maklumat akhirnya akan kehilangan arah.
Maka, Anugerah Media Kelantan 2026 adalah manifestasi Kerajaan Negeri Kelantan memandang tinggi golongan yang bekerja dengan pena (papan kekunci), kamera dan mikrofon. Kerana di sebalik setiap berita ada mesej tersirat, amanah yang dipikul ketika meletakkan judul, menitis keringat yang tidak terlihat. Demikian pembangunan yang dicatat, ada insan yang menulisnya untuk dikenang oleh sejarah.








