Projek NRW dan penggantian paip bernilai RM131.6 juta, sistem bekalan air Kelantan semakin kukuh
Oleh: Asri Hamat
GUA MUSANG, 11 Jun — Projek Air Tidak Berhasil (NRW) Nasional dan program penggantian paip yang telah siap dilaksanakan di Kelantan menerusi pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melibatkan kos keseluruhan RM131.6 juta, sekali gus memperkukuh sistem bekalan air negeri dan mengurangkan kehilangan air terawat.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, pelaksanaan projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menambah baik infrastruktur bekalan air demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Chupak, di sini, hari ini.
Menurutnya, projek yang telah siap merangkumi Program NRW Nasional Pakej 1 yang disempurnakan pada tahun 2024 dengan kos RM24.3 juta, projek penggantian paip sepanjang 103 kilometer di jajahan Kota Bharu, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai bernilai RM62.4 juta yang turut siap pada tahun 2024, serta Program NRW Nasional Pakej 2 yang siap pada tahun 2025 dengan kos RM44.8 juta.
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud
“Kerajaan negeri amat menghargai komitmen PAAB dalam melaksanakan Projek NRW Nasional dan program penggantian paip yang melibatkan pelaburan berjumlah RM75 juta.
“Projek berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan kehilangan air terawat, malah meningkatkan kecekapan sistem bekalan air secara keseluruhannya,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, pembangunan sektor bekalan air di Kelantan dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak tertumpu kepada satu kawasan sahaja, sebaliknya melibatkan semua jajahan mengikut keutamaan dan keperluan semasa.
Katanya, projek penggantian paip lama yang dibiayai PETRA sedang dilaksanakan secara aktif oleh PAAB di seluruh negeri bagi memastikan sistem agihan air dapat berfungsi dengan lebih cekap.
“Usaha ini amat penting kerana loji rawatan air yang baik perlu disokong oleh sistem agihan yang cekap agar air yang dirawat dapat sampai kepada rakyat tanpa kebocoran,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau juga memaklumkan projek yang kini berada pada peringkat pembinaan membabitkan kos RM79.9 juta dan dijangka siap pada 2027.
Antaranya ialah projek penggantian paip Pakej 1 di Kota Bharu Utara, Timur dan Selatan sepanjang 80.5 kilometer dengan kos RM70.5 juta serta projek Sistem Retikulasi Paip Negeri Kelantan bagi jajahan Pasir Puteh dan Kota Bharu Utara bernilai RM9.3 juta.
Selain itu, projek yang masih dalam perancangan di bawah pembiayaan PAAB melibatkan kos RM3.4 juta bagi kerja membaik pulih struktur loji rawatan air di beberapa lokasi termasuk LRA Manek Urai, Stong dan Pahi di Kuala Krai, LRA Gemang dan Kuala Balah di Jeli, LRA Paloh dan Chiku di Gua Musang, LRA Wakaf Bunut di Pasir Puteh, LRA Wakaf Bharu di Tumpat serta LRA Chicha di Kota Bharu.
Dato' Mohd Nassuruddin berkata, pelbagai projek yang sedang dilaksanakan dan dirancang memberi keyakinan bahawa sektor bekalan air Kelantan berada di landasan yang tepat menuju transformasi menyeluruh menjelang tahun 2030.
“Insya Allah, menjelang tahun 2030, kita akan melihat perubahan yang sangat ketara dalam sektor bekalan air negeri ini.
“Saya yakin rakyat Kelantan akan dapat menikmati bekalan air yang lebih stabil, lebih bersih dan lebih berkualiti,” ujarnya.
Beliau optimis, usaha berterusan itu juga dijangka mengurangkan masalah gangguan bekalan air, kebocoran serta paip pecah di seluruh negeri, di samping menyokong pertumbuhan kawasan perumahan baharu, pusat perniagaan dan sektor perindustrian.
“Diharapkan usaha ini akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa demi menjamin kesejahteraan hidup rakyat secara menyeluruh,” katanya.










