Accessibility Tools

Skip to main content

Panel khas ditubuh naik taraf silibus Halaqat Negeri

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 23 April — Kerajaan Negeri Kelantan menubuhkan panel khas bagi menilai, menambah baik serta menaik taraf silibus Halaqat Negeri agar lebih relevan dan berkesan dalam memperkukuh pendidikan Islam berterusan di peringkat akar umbi.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan kandungan pengajian halaqat sentiasa selari dengan keperluan semasa tanpa mengabaikan asas disiplin ilmu Islam.

“Panel ini akan meneliti keseluruhan kandungan silibus dan mengemukakan cadangan penambahbaikan sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Pembangunan Islam untuk kelulusan, seterusnya diangkat ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15, semalam.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pelaksanaan Halaqat Negeri terus diperkukuh dengan penglibatan tenaga pengajar yang majoritinya terdiri daripada golongan aktif dan produktif.

Menurutnya, daripada 536 guru, pembantu dan pegawai halaqat yang sedang berkhidmat, kira-kira 70 peratus berumur 60 tahun ke bawah.

“Sebanyak 186 orang atau 34.7 peratus berusia antara 21 hingga 40 tahun, diikuti 189 orang (35.3 peratus) berumur antara 41 hingga 60 tahun, manakala hanya 161 orang (30 peratus) berusia 61 tahun ke atas.

“Ini menunjukkan dakwaan bahawa kebanyakan guru halaqat terdiri daripada warga emas yang tidak lagi mampu mengajar adalah tidak tepat,” jelasnya.

Menurutnya lagi, pengalaman luas dalam kalangan guru berusia turut menjadi kekuatan dalam penyampaian ilmu kerana mereka memiliki kematangan dan autoriti yang tinggi.

“Guru yang telah lama berkhidmat mempunyai kelebihan dari segi penguasaan ilmu dan fokus dalam pengajaran, sekali gus memperkaya pengalaman pembelajaran masyarakat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa halaqat dilaksanakan secara meluas di pelbagai lokasi termasuk 506 masjid, 378 surau serta 136 lokasi lain seperti Pusat Khidmat Dewan Negeri, pejabat kerajaan dan kawasan terbuka.

Tambahnya, pendekatan tersebut membolehkan capaian ilmu diperluas serta mendekatkan program halaqat dengan masyarakat.

Dari sudut kandungan, YB Mohd Asri berkata silibus halaqat berteraskan disiplin utama pengajian Islam merangkumi tafsir, hadis, tasawuf, fekah dan akidah dengan rujukan kitab muktabar.

Antaranya termasuk Tafsir Pimpinan Ar-Rahman karya Syeikh Abdullah Basmeih, Hadis 40 oleh Imam Nawawi, Penawar Bagi Hati oleh Syeikh Abdul Qadir Mandili, Idaman Penuntut oleh Tuan Guru Haji Abdul Ghani Yahya serta Asas Akidah Islam terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Pautan berjaya disalin!