RTM digesa perketat tapisan kandungan, elak siaran tidak bermoral berulang
Oleh: Syamimi Manah
KUALA LUMPUR, 23 April — Radio Televisyen Malaysia (RTM) digesa memperketat tapisan kandungan secara menyeluruh bagi mengelakkan insiden siaran tidak bermoral berulang, susulan penayangan animasi Cleopatra in Space yang didapati mengandungi elemen tidak selari dengan norma masyarakat dan nilai tempatan.
Ahli Dewan Negara YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, isu tersebut wajar dijadikan pengajaran penting kepada RTM sebagai penyiar nasional yang dibiayai dana awam agar lebih teliti dalam menilai kandungan sebelum disiarkan, khususnya melibatkan program untuk kanak-kanak.
Menurutnya, walaupun tindakan menghentikan tayangan animasi berkenaan dilaksanakan segera, persoalan utama yang timbul adalah bagaimana kandungan tersebut boleh melepasi proses tapisan awal.
“Insiden ini jelas menunjukkan kemungkinan wujudnya kelemahan atau ‘blind spot’ dalam sistem penilaian kandungan, terutama melibatkan bahan import yang memerlukan penelitian lebih menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Beliau menegaskan RTM perlu berperanan sebagai benteng utama dalam memastikan setiap kandungan mematuhi peruntukan undang-undang termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta garis panduan penapisan yang berkuat kuasa.
Tambahnya, medium animasi mempunyai pengaruh besar terhadap perkembangan pemikiran kanak-kanak, justeru sebarang elemen yang tidak selari dengan nilai budaya dan agama tempatan perlu ditapis secara lebih ketat.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Komunikasi Malaysia dan pengurusan RTM melaksanakan audit menyeluruh terhadap semua kandungan import.
“Audit segera perlu dilakukan terhadap semua kandungan siri animasi dan drama import yang sedang atau bakal ditayangkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) tapisan kandungan diperkemas dengan melibatkan panel penilai yang lebih peka terhadap sensitiviti budaya dan agama di Malaysia.
Beliau menegaskan RTM perlu terus memainkan peranan sebagai penanda aras kepada stesen penyiaran lain dalam memartabatkan identiti nasional serta memelihara kepentingan masyarakat secara keseluruhan.








