Accessibility Tools

Skip to main content

RKK Tok Bali 2045 garis pembangunan bersepadu seluas 16,810 hektar

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 22 April — Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tok Bali 2045 telah disediakan sebagai pelan tindakan menyeluruh merangkumi susun atur, pengurusan, fasa pelaksanaan, kos serta pendekatan pembangunan melibatkan keluasan 16,810.62 hektar bagi memacu pembangunan kawasan itu secara bersepadu.

Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perancangan tersebut berasaskan Rancangan Tempatan Jajahan Pasir Puteh 2035 dengan wawasan menjadikan Tok Bali sebagai bandar maritim, pelabuhan dan pusat pelancongan yang berdaya saing.

Menurutnya, kawasan pembangunan berkenaan meliputi beberapa mukim di jajahan Pasir Puteh dan Bachok.

“Antara komponen utama ialah pembangunan Tok Bali Supply Base seluas 320 hektar yang berfungsi sebagai pelabuhan industri dan berpotensi menjadi terminal petrokimia.

“Pembangunan fasa pertama telah siap sepenuhnya, manakala fasa kedua kini mencapai sekitar 50 peratus dan dijangka siap pada tahun 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Tambahnya, kemasukan syarikat utama seperti Chevron dan Hibiscus Malaysia yang memindahkan operasi ke fasiliti berkenaan mengukuhkan lagi kedudukan Tok Bali sebagai hab industri maritim yang semakin berkembang.

“Selain itu, pembinaan Pejabat Polis Marin telah siap dan kini dalam proses mendapatkan kelulusan Certificate of Completion and Compliance (CCC),” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, projek Tok Bali Integrated Fisheries Park yang memfokuskan pembangunan industri perikanan moden kini mencapai kira-kira 30 peratus kemajuan.

Bagi sektor perumahan, pembangunan Residential Tok Bali melibatkan keluasan 45.3 ekar menunjukkan kemajuan positif apabila fasa 1A membabitkan 500 unit Rumah PRIMA telah siap, manakala fasa seterusnya dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028.

Menurutnya lagi, komponen asas seperti pelabuhan, zon industri dan taman perikanan sama ada telah mula beroperasi atau hampir siap sepenuhnya, manakala beberapa projek berskala besar masih dalam fasa pelaksanaan.

“Ini menunjukkan Tok Bali kini berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh dan berpotensi besar muncul sebagai pusat ekonomi maritim utama di Pantai Timur dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau menegaskan, keseluruhan perancangan tersebut mencerminkan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam merangka pembangunan strategik yang berdaya saing serta berimpak tinggi.

“Usaha ini bukan sahaja mampu memperkukuh keyakinan pelabur, malah merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memastikan manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat Kelantan,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!