Accessibility Tools

Skip to main content

SPARK pantau manifesto, pendedahan awam pastikan janji ditunai - Exco Penerangan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 22 April — Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik (SPARK) di Pejabat Menteri Besar dilantik bagi menyemak dan memantau keseluruhan pelaksanaan manifesto kerajaan negeri secara berstruktur, dengan pendedahan kepada umum dilaksanakan bagi memastikan janji yang dibuat benar-benar ditunaikan.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, pemantauan tersebut dilaksanakan berdasarkan skala penilaian yang jelas dan terukur, selain melalui pembentangan pencapaian pada pertengahan penggal pentadbiran.

“Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik (SPARK) Pejabat Menteri Besar telah dilantik untuk membuat semakan dan memantau keseluruhan perjalanan manifesto berdasarkan skala yang telah ditetapkan.

“Pendedahan dibuat kepada umum adalah bagi memastikan agar janji manifesto dapat ditunaikan dan bukan gimik politik semata-mata. Pelaksanaan pencapaian ini nanti akan terus dipantau, dibaiki dan dilaksanakan sebelum berakhirnya tempoh penggal pentadbiran,” katanya pada sesi penggulungan Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.

Menurutnya, manifesto yang digariskan kerajaan negeri merupakan komitmen realistik dalam tempoh lima tahun pentadbiran, bukan bersifat retorik atau di luar kemampuan pelaksanaan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Galas YB Dato’ Mohd Syihabuddin Hashim yang mempersoalkan pencapaian 84 peratus manifesto dalam tempoh kurang tiga tahun pentadbiran.

Mengulas lanjut, YB Mohd Asri menjelaskan bahawa penilaian pencapaian dibuat menggunakan skala standard, iaitu 0 peratus bagi projek yang belum bermula, 1 hingga 49 peratus di peringkat penyediaan awal, 51 hingga 70 peratus bagi rundingan, 71 hingga 89 peratus pada peringkat pelaksanaan, manakala 90 hingga 100 peratus bagi inisiatif yang telah siap dan beroperasi.

Katanya lagi, manifesto kerajaan negeri merangkumi 18 tawaran utama dengan 96 program, di mana setakat ini terdapat 11 program yang masih belum dilaksanakan.

“Walaupun begitu, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan dan kesejahteraan rakyat di luar skop manifesto demi memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan manifesto akan terus diperkemas dari semasa ke semasa sebagai amanah yang perlu dipenuhi.

“Dalam masa yang sama, diusahakan untuk melaksanakan kesemua tawaran manifesto sebagai janji yang wajib ditunaikan dan akan dipersoalkan oleh Allah SWT kelak,” tegasnya.

Pautan berjaya disalin!