Accessibility Tools

Skip to main content

Pakej rangsangan RM2 juta bantu petani, usahawan IKS -MB Kelantan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 22 April — Kerajaan Negeri Kelantan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi rakyat berjumlah RM2 juta  khususnya bagi membantu golongan petani dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) sebagai langkah menangani kesan ketidaktentuan ekonomi global.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, inisiatif tersebut disalurkan secara bersasar dengan peruntukan RM1 juta kepada petani bagi memperkukuh sektor agromakanan, manakala RM1 juta lagi kepada usahawan IKS bagi merangsang pertumbuhan serta kelangsungan perniagaan.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.

Menurutnya, langkah itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap cabaran ekonomi semasa yang memberi kesan langsung kepada kumpulan sasar yang menjadi tulang belakang ekonomi negeri.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela di samping memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dalam menghadapi cabaran semasa.

“Mekanisme penyaluran bantuan tersebut akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.

Tambahnya, sektor pertanian dan IKS memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi negeri, justeru sokongan berterusan diperlukan bagi memastikan kedua-dua sektor tersebut kekal berdaya tahan.

Pautan berjaya disalin!