Cadangan penambahbaikan skim CFS diteliti, kebajikan penjawat awam diutamakan - MB Kelantan
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 22 April — Kerajaan Negeri Kelantan akan meneliti secara menyeluruh cadangan penambahbaikan pelaksanaan skim Contract for Service (CFS) dengan mengambil kira kebajikan penjawat awam sebagai keutamaan.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata kerajaan negeri mengambil maklum bahawa skim berkenaan mempunyai asas pelaksanaan tersendiri, namun penelitian rapi perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15, di sini, hari ini.
“Kerajaan negeri menegaskan bahawa semua penjawat awam, sama ada berstatus tetap atau kontrak, merupakan tulang belakang pentadbiran negeri yang perlu dipelihara kebajikannya,” jelasnya.
Menurutnya lagi, sebarang pertimbangan terhadap pelaksanaan skim tersebut akan mengambil kira keseimbangan antara keperluan pentadbiran yang efisien dan jaminan kebajikan penjawat awam.








