Accessibility Tools

Skip to main content

Pendekatan 3P tangani rempit, gejala sosial belia -YB Zamakhshari

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 22 April — Kerajaan Negeri Kelantan menggariskan strategi menyeluruh berasaskan pendekatan 3P iaitu pencegahan, penguatkuasaan dan penyertaan dalam menangani isu rempit serta gejala sosial belia, selaras usaha membentuk generasi muda berdisiplin dan berdaya saing.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata pendekatan tersebut menekankan keseimbangan antara pendidikan awal, tindakan penguatkuasaan berkesan serta penglibatan aktif belia dalam aktiviti positif.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Persidangan Kali Pertama Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.

Menurutnya, aspek pencegahan perlu diperkukuh melalui pendidikan awal di sekolah serta pelaksanaan dasar pendidikan menyeluruh dengan penglibatan institusi seperti Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi membentuk sahsiah pelajar sejak peringkat awal.

“Penguatkuasaan yang konsisten oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) amat penting dengan sokongan sumber mencukupi bagi memastikan tindakan lebih berkesan di kawasan berisiko,” jelasnya.

Menurutnya lagi, elemen penyertaan pula diperkasa melalui penglibatan belia dalam program pembangunan diri, sukan dan aktiviti sihat seperti Kelantan Future Leaders, Urus setia Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat (U-BeS), Jabatan Belia dan Sukan (JBS) serta pelbagai inisiatif di peringkat komuniti dan masjid.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyediakan alternatif aktiviti sihat termasuk sukan permotoran terkawal seperti motocross serta penganjuran program RXZ Forever Legend dan Mat Motor Day bagi menyalurkan minat belia ke arah lebih positif.

Di samping itu, intervensi komuniti melalui program mentor belia dan inisiatif Anak Muda Rakan Al-Quran terus diperluas sebagai usaha membimbing golongan muda agar tidak terjebak dalam aktiviti negatif.

Beliau turut menegaskan kepentingan pendekatan berasaskan data dalam usaha pencegahan dengan memberi tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi yang dikenal pasti oleh pihak penguat kuasa.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri kekal komited memperkasa pembangunan sukan sebagai medium membina jati diri belia, termasuk pelaksanaan projek naik taraf kemudahan sukan secara berfasa di seluruh negeri.

"Peruntukan melebihi RM10 juta setahun disediakan melalui pelbagai agensi bagi menyokong pembangunan dan program sukan di Kelantan.

“Kerajaan negeri memberi penekanan terhadap penyediaan kemudahan rekreasi dan ruang riadah di setiap daerah bagi memenuhi keperluan masyarakat, khususnya golongan belia dan keluarga.

"Komitmen tersebut turut terserlah melalui persiapan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 yang dijangka menjadi pemangkin pembangunan sukan negeri," jelasnya.

YB Zamakhshari turut merumuskan bahawa belia merupakan aset penting, sukan sebagai medium perpaduan, NGO sebagai rakan strategik kerajaan negeri, manakala pembangunan negeri berpaksikan nilai Islam sebagai teras utama.

Pautan berjaya disalin!