Accessibility Tools

Skip to main content

Pendekatan bersepadu pulihkan pusat beli-belah, luaskan pasaran global

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 22 April — Kerajaan Negeri Kelantan mempergiat strategi pembangunan pelancongan domestik dan antarabangsa dengan memberi tumpuan kepada pemulihan pusat beli-belah, pengukuhan produk tempatan serta peluasan pasaran global melalui pendekatan bersepadu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, langkah tersebut dilaksanakan bagi memastikan sektor pelancongan negeri kekal berdaya saing dan mampu menarik lebih ramai pelawat dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong, YB Shaari Mat Yaman pada Persidangan Kali Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Menurutnya, beberapa pusat beli-belah utama di Kota Bharu yang sebelum ini menjadi tarikan pelancong kini berdepan cabaran apabila sebahagiannya menghentikan operasi seperti Parkson dan Hankyu, manakala pusat lain seperti AEON, Mydin, Lotus dan Billion terus menunjukkan prestasi positif.

“Pendekatan utama adalah memperkukuh kerjasama dengan pihak swasta melalui penganjuran program dan aktiviti pelancongan di pusat beli-belah terpilih.

“AEON contohnya, mereka agak agresif dalam pemasaran dan telah bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam beberapa program seperti pertandingan ayam serama dan juga penganjuran aktiviti sukan permotoran kanak-kanak yang berjaya menarik perhatian pengunjung,” jelasnya.

Menurutnya, kerajaan negeri turut mencadangkan penambahbaikan termasuk penyediaan kemudahan parkir mencukupi sebagai faktor penting dalam menarik kehadiran pengunjung.

Selain itu, pengkhususan produk dikenal pasti sebagai strategi memperkukuh daya saing pusat beli-belah.

“Sebagai contoh Mydin menumpukan kepada produk makanan dan barangan keperluan harian yang turut menarik pengunjung dari Thailand pada hujung minggu, manakala Billion memberi fokus kepada produk bernilai tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut merancang menghidupkan semula kawasan Wakaf Che Yeh yang mengalami perubahan corak kunjungan berikutan faktor ekonomi semasa dan kemunculan Terminal Agrobisnes Negara (TEMAN).

“Wakaf Che Yeh kini sudah kurang meriah berbanding dahulu, namun kita sedang merancang untuk membuka semula kawasan itu dengan kerjasama MPKB bagi menjadikannya pusat jualan baharu berbentuk 'jumble sale' yang lebih moden dan tersusun,” jelasnya.

Mengulas mengenai produk tempatan, beliau menegaskan bahawa kekuatan utama Kelantan terletak pada kualiti produk makanan dan kraftangan, namun cabaran terbesar adalah aspek pemasaran.

“Masalah kita bukan pengeluaran, tetapi pemasaran. Kita belum mempunyai satu agensi khusus untuk memasarkan produk 'Kelantan-made' ke peringkat lebih luas,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan negeri giat menyertai pelbagai ekspo dan misi perdagangan termasuk MAHA, Hari Wilayah Persekutuan serta program promosi di Johor Bahru bagi memperluas pasaran ke Johor dan Singapura.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan kontrak pelancongan bernilai RM2.3 juta yang dimeterai di ITB Berlin bakal menarik kehadiran pelancong Jepun ke Kelantan sepanjang tahun 2026.

Menurutnya, pelan tersebut memberi tumpuan kepada segmen pelancongan berasaskan alam semula jadi, gastronomi, ekopelancongan, budaya serta kraftangan.

“Pelancong Jepun sangat berminat kepada makanan, khususnya makanan laut, selain aktiviti eco-tourism. Dabong antara destinasi utama yang telah dikenal pasti, selain Pasar Siti Khadijah yang menjadi tarikan unik kepada mereka,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa Kelantan tidak hanya bergantung kepada pusat beli-belah semata-mata, sebaliknya memperkukuh keseluruhan ekosistem pelancongan sebagai strategi menarik pelawat dan merancakkan ekonomi negeri secara holistik.

Pautan berjaya disalin!