Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan sasar 16 emas di SUKMA Selangor 2026

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 22 April – Kerajaan Negeri Kelantan meletakkan sasaran untuk meraih 16 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 sebagai usaha memperkasa pencapaian sukan negeri di peringkat kebangsaan.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, sasaran tersebut ditetapkan oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan yang turut menyasarkan 8 pingat perak dan 11 pingat gangsa.

Menurutnya, penetapan sasaran itu dibuat berdasarkan penyertaan Kelantan dalam 35 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan, selain mengambil kira prestasi semasa atlet, pencapaian edisi terdahulu serta perkembangan program latihan yang sedang dilaksanakan.

“Kerajaan negeri melalui MSN Kelantan komited memastikan setiap atlet berada pada tahap terbaik dan bersedia untuk bersaing secara kompetitif di peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tendong YB Rozi Muhamad pada Persidangan Kali Pertama Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.

Menurutnya, sasaran yang ditetapkan itu adalah realistik dan berpandukan kepada kekuatan semasa sukan berpotensi negeri, peningkatan keupayaan jurulatih serta kemudahan latihan yang semakin diperkukuh.

Tambahnya, dengan sokongan padu semua pihak termasuk persatuan sukan, jurulatih, pegawai dan atlet, Kelantan yakin sasaran tersebut mampu dicapai sekali gus memperkukuh kedudukan negeri dalam arena sukan negara.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan mengenai pembangunan atlet muda di peringkat akar umbi, YB Zamakhshari menjelaskan bahawa kesiapsiagaan kontinjen SUKMA 2026 digerakkan melalui tiga peringkat pembangunan atlet iaitu bakat, pelapis dan elit.

Jelasnya, atlet elit merupakan kumpulan utama yang akan mewakili negeri di SUKMA, manakala atlet bakat dan pelapis dikenal pasti lebih awal untuk dipersiapkan sebagai kumpulan sokongan serta pelapis masa depan.

“Pendedahan kepada kejohanan peringkat kebangsaan dan sirkit sukan menjadi antara pendekatan penting dalam memastikan kesinambungan prestasi atlet negeri,” ujarnya.

Menurut YB Zamakhshari lagi, MSN Kelantan turut melaksanakan pelbagai program pembangunan termasuk Kem Pemerkasaan Pembangunan Sukan, Bengkel Road To SUKMA Selangor 2026, Kursus Sains Sukan Tahap 1 dan 2 serta Ujian Kecergasan Atlet Siri I hingga III.

Selain itu, program lain yang dilaksanakan termasuk Bengkel Anti-Doping, Nutrition Talk, High Altitude Training Camp, Bengkel Sports Injury, Program Attachment Latihan di Lapangan serta penyertaan dalam kejohanan dan sirkit kebangsaan.

Tambahnya, kem latihan berfokus turut diadakan melibatkan atlet SUKMA, bakat, pelapis serta atlet berpotensi tinggi bagi memastikan persediaan menyeluruh sebelum temasya berlangsung.

Pautan berjaya disalin!