Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan teliti cadangan buka aliran Sains Tulen, TVET di sekolah YIK

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 22 April - Kerajaan Negeri Kelantan akan melaksanakan kajian menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan utama berkaitan cadangan pembukaan aliran baharu seperti Sains tulen dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, kajian itu meliputi aspek kurikulum, keperluan tenaga pengajar, prasarana serta implikasi kewangan bagi memastikan pelaksanaan aliran baharu memberi manfaat optimum kepada pelajar dan institusi.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui YIK sentiasa terbuka dan responsif terhadap cadangan penambahbaikan aliran pengajian, termasuk cadangan membuka aliran Sains tulen di Maahad Shamsul Maarif (Perempuan) serta aliran TVET di Maahad Shamsul Maarif (Lelaki).

“Sebarang pembukaan aliran baharu perlu melalui permohonan rasmi pihak sekolah dan akan diteliti berdasarkan keperluan setempat, termasuk unjuran kemasukan pelajar serta kesediaan prasarana.

“Kita tidak mahu aliran yang dibuka tidak mendapat sambutan sehingga tidak mencukupi satu kelas kerana ia akan menyebabkan kerugian kepada kerajaan."

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong YB Azhar Salleh pada Persidangan  Kali Yang  Pertama Bagi Tempoh Penggal  Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang  Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Menurutnya lagi, antara faktor lain yang diambil kira ialah keupayaan dan kesesuaian pelajar, termasuk tahap pencapaian akademik serta kecenderungan mereka terhadap bidang yang ditawarkan.

“Sebagai contoh, jika prestasi subjek Matematik di sesebuah sekolah belum mencapai tahap memberangsangkan, pembukaan aliran Sains tulen yang melibatkan subjek seperti Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi dibimbangi akan menjejaskan prestasi keseluruhan sekolah,” jelasnya.

Dalam masa sama, kerajaan negeri turut menitikberatkan keseimbangan dengan identiti pendidikan YIK yang berteraskan pengajian Islam dan Bahasa Arab.

“Fokus utama YIK adalah melahirkan pelajar berilmu, beriman dan bertakwa, selaras dengan matlamat penubuhannya melalui enakmen Yayasan Islam Kelantan.

“Sebarang peluasan aliran akan dilaksanakan tanpa mengabaikan matlamat melahirkan generasi berakhlak dan berteraskan al-Quran serta as-Sunnah,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan YIK sebelum ini membuktikan pendekatan integrasi ilmu akademik dan agama mampu melahirkan pelajar cemerlang, termasuk yang memperoleh keputusan tinggi dalam peperiksaan serta berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara.

“Ini termasuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah menguasai hafazan al-Quran dan mampu menjadi contoh di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!