Accessibility Tools

Skip to main content

Lima langkah strategik teras pengukuhan tadbir urus Kelantan

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 22 April — Lima langkah strategik menjadi teras pengukuhan tadbir urus Kelantan apabila Kerajaan Negeri memperkenalkan pendekatan menyeluruh bagi memperkukuh integriti, memperkemas penyampaian perkhidmatan awam serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran negeri.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, pelaksanaan lima langkah tersebut merupakan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan tadbir urus dilaksanakan secara lebih telus, cekap dan berakauntabiliti.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang YB Zubir Abu Bakar dalam Persidangan Kali Yang Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Menurutnya, lima langkah strategik tersebut merangkumi pembangunan modal insan, pemantapan prestasi dan tatatertib, penambahbaikan struktur organisasi, kesejahteraan psikologi penjawat awam serta pematuhan prosedur kerja secara menyeluruh.

Dalam aspek pembangunan modal insan, kerajaan negeri melaksanakan program ProLeads bagi mempertingkat kompetensi, integriti dan kemahiran kepimpinan penjawat awam selaras dengan prinsip tadbir urus baik dan akauntabiliti.

“Kerajaan negeri turut menekankan pengukuhan disiplin dan budaya kerja berintegriti melalui Panel Penasihat Tatatertib serta pengiktirafan kepada penjawat awam cemerlang menerusi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC),” jelasnya.

Tambahnya, dari sudut penjawatan dan organisasi, pelbagai langkah dilaksanakan termasuk audit organisasi, penetapan bidang tugas yang jelas, pusingan kerja, pengisytiharan harta serta pelaksanaan program integriti bagi memastikan akauntabiliti dan mengelakkan konflik kepentingan.

Dalam masa sama, aspek kesejahteraan psikologi penjawat awam turut diberi perhatian melalui inisiatif seperti MyPsyD, program pembangunan psikologi serta Modul Smart Itqan yang bertujuan memperkukuh kestabilan emosi, profesionalisme dan kualiti penyampaian perkhidmatan.

“Semua urusan perkhidmatan dilaksanakan mengikut peraturan dan garis panduan yang ditetapkan, termasuk melalui proses semakan dan perakuan yang jelas bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara telus dan teratur,” ujarnya.

Menteri Besar Kelantan juga menegaskan, keseluruhan pendekatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh tadbir urus yang berintegriti, cekap dan telus, sekali gus mempertingkat kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negeri.

Pautan berjaya disalin!