45 pelajar raih 9A ke atas, keberkesanan TRS terbukti
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARULNAIM, 22 April — Sebanyak 45 pelajar berjaya mencapai keputusan 9A ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 hasil penyertaan dalam Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) dan e-Tuisyen, sekali gus membuktikan keberkesanan awal inisiatif pendidikan kerajaan negeri khususnya dalam membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Perkara itu dibangkitkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Manek Urai YB Mohd Fauzi Abdullah yang meminta penjelasan mengenai tahap keberkesanan program tersebut dari sudut pencapaian akademik, kadar kehadiran serta impaknya terhadap golongan B40 pada Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.
Menjawab soalan berkenaan, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat memaklumkan kerajaan negeri telah melaksanakan penilaian awal dengan mengaitkan data penyertaan program TRS dan e-Tuisyen dengan keputusan SPM 2025.
Menurutnya, daripada 361 responden program TRS, 21 pelajar berjaya memperoleh keputusan 9A ke atas, manakala bagi program e-Tuisyen, daripada 229 responden, 24 pelajar mencapai keputusan sama.
“Secara keseluruhan, sebanyak 45 rekod pelajar cemerlang yang memperoleh 9A ke atas telah dikenal pasti setakat ini. Ini merupakan satu petunjuk awal yang positif terhadap keberkesanan program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” jelasnya.
Tambahnya, pencapaian turut terserlah apabila beberapa sekolah luar bandar berjaya melahirkan pelajar cemerlang dengan keputusan 10A dalam SPM 2025, antaranya di SMU (A) Bustanul Saadah Morak, SMU(A) Meheliah Geting dan SMU(A) Rahmaniah Paloh, Tanah Merah.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan dapatan tersebut masih bersifat awal kerana hanya melibatkan peserta yang memberi maklum balas dan belum mencerminkan keseluruhan peserta program.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sejumlah 1,139 pelajar telah mendaftar bagi menerima insentif kerajaan negeri bagi pencapaian 9A ke atas, menunjukkan peningkatan bilangan pelajar cemerlang di Kelantan.
Dari segi kehadiran, semakan di 24 daripada 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapati seramai 1,432 pelajar mengikuti kelas TRS dengan kadar kehadiran mencecah 77.28 peratus.
“Peratus kehadiran ini dipengaruhi oleh faktor pertindihan dengan kelas tambahan sekolah serta kelas malam, namun sambutan yang diterima amat menggalakkan,” jelasnya.
Beliau berkata pelaksanaan TRS secara percuma memberi manfaat besar kepada keluarga berpendapatan rendah dengan mengurangkan kos kelas tambahan, di samping lokasi program yang berdekatan memudahkan akses pelajar.
Mengulas cadangan ADN Manek Urai berhubung pembangunan sistem e-Tuisyen sendiri Dato' Wan Roslan berkata kerajaan negeri kini sedang membangunkan platform berkenaan melalui portal negeri dengan kerjasama Yayasan Islam Kelantan (YIK), Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat (BPTM) dan Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd. (KIGSB).
“Pelaksanaan awal sistem ini dijangka dimulakan bagi calon SPM melibatkan semua subjek sebelum diperluaskan secara berperingkat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sasaran awal tahun ini melibatkan 1,896 pelajar dengan penggunaan sistem berasaskan ID yang membolehkan akses pembelajaran secara fleksibel.
Dalam perkembangan berkaitan, ADN Pengkalan Pasir YB Mohamad Nasriff Daud mencadangkan agar penglibatan guru pesara diperluaskan serta program ini dikembangkan ke peringkat selain SPM.
Menjawab cadangan itu, Dato' Wan Roslan menjelaskan TRS merupakan projek perintis yang memberi fokus kepada subjek teras SPM sebelum diperluaskan ke peringkat lain termasuk STAM dan STPM.
“Apabila program ini menunjukkan kejayaan, kerajaan negeri bercadang untuk memperluaskannya ke peringkat lebih tinggi bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat manfaat, termasuk peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara,” ujarnya.








