MST lebarkan jaringan strategik, perkukuh intervensi sosial
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 22 April — Mawaddah Support Team (MST) melebarkan peranan melalui kerjasama strategik bersama pelbagai agensi termasuk Jabatan Penjara Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), selain menjalin kolaborasi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat Parlimen bagi melaksanakan inisiatif kekeluargaan serta intervensi sosial.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, pendekatan kolaboratif itu menjadi teras dalam memperkukuh fungsi MST sebagai mekanisme sokongan sosial yang lebih menyeluruh.
“Kerjasama ini telah pun dilaksanakan dengan beberapa pihak termasuk Jabatan Penjara Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Selain itu, MST di peringkat Parlimen turut menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan masing-masing bagi melaksanakan pelbagai inisiatif kekeluargaan serta intervensi sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payung, YB Shaari Mat Yaman pada Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk memperluaskan fungsi MST termasuk menerusi penglibatan institusi kaunseling profesional dan badan agama bagi memperkukuh institusi keluarga.
Menurutnya, kerajaan negeri turut menubuhkan kumpulan sokongan sosial di peringkat negeri yang melibatkan tenaga psikososial bertauliah seperti kaunselor berdaftar, psikologis klinikal serta pegawai perubatan psikiatrik.
“Inisiatif ini bertujuan membantu keluarga yang berdepan masalah emosi serta memastikan kesejahteraan mereka terus terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, Dato' Rohani memaklumkan bahawa kerjasama turut diperluas melalui institusi agama khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) bagi memperkukuh bimbingan spiritual berteraskan nilai keagamaan.
“Usaha ini merangkumi pengukuhan akidah, pembentukan sahsiah serta pemantapan peranan keluarga sebagai institusi asas dalam masyarakat,” jelasnya.
Beliau berharap pelaksanaan pelbagai inisiatif tersebut mampu memberi impak positif dalam menangani isu sosial serta meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“Diharapkan usaha ini dapat meringankan beban masyarakat khususnya golongan keluarga berisiko,” katanya.








